Subsidi petrol: 100,000 kenderaan pengangkutan, barangan dianggar daftar SKPS

PAPAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menganggarkan sebanyak 100,000 kenderaan syarikat pengangkutan darat awam dan barangan di seluruh negara layak membuat permohonan pendaftaran menerusi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) bagi menikmati manfaat subsidi petrol RON95.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, anggaran tersebut dibuat berdasarkan data SKPS diintegrasikan bersama sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekali gus menekankan kepentingan permohonan pendaftaran itu dalam usaha KPDN mengawal selia mekanisme penyaluran subsidi untuk kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan.
Bagaimanapun Armizan berkata, jumlah kenderaan syarikat daripada kedua-dua sektor yang membuat permohonan pendaftaran tersebut, yang bermula Isnin lepas, setakat ini masih rendah iaitu hanya sekitar 154 syarikat merangkumi 335 kenderaan.
Beliau berkata, sebanyak 70 syarikat melibatkan 240 kenderaan adalah daripada sektor pengangkutan darat awam manakala selebihnya iaitu 84 syarikat dengan 95 kenderaan sektor pengangkutan darat barangan.
"Walaupun tiada tarikh tutup, namun saya menggesa syarikat-syarikat pengangkutan darat awam dan barangan yang layak supaya membuat pendaftaran segera bagi memastikan mereka mendapat manfaat subsidi ini pada hari pertama ia dilaksanakan," katanya.
Ahli Parlimen Papar itu berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Lok Kawi Height, Kinarut, dekat sini, yang merupakan antara PPS beroperasi bagi menempatkan penduduk terjejas banjir dan tanah runtuh di daerah berkenaan.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, syarikat pengangkutan darat awam dan barangan yang layak juga perlu memohon Fleet Card daripada tiga syarikat minyak pilihan selepas proses permohonan pendaftaran menerusi SKPS selesai.
"Kita harap supaya semua kenderaan syarikat pengangkutan darat awam dan barangan memanfaatkan subsidi petrol RON95 ini kerana mereka menawarkan perkhidmatan kepada pengguna. Kemudahan subsidi ini pada akhirnya akan mengurangkan impak kepada pengguna secara keseluruhannya," katanya.
Permohonan pendaftaran SKPS boleh dibuat menerusi pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my. - Bernama
Ringkasan AI
- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menganggarkan 100,000 kenderaan layak dapat subsidi petrol RON95 melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi
- Hanya 154 syarikat dengan 335 kenderaan telah buat permohonan pendaftaran sejak Isnin lepas
- Dari jumlah itu, 70 syarikat dengan 240 kenderaan adalah dari sektor pengangkutan darat awam, selebihnya 84 syarikat dengan 95 kenderaan dari sektor pengangkutan barangan
- Tiada tarikh tutup untuk pendaftaran, namun syarikat diingatkan untuk mendaftar segera demi manfaat subsidi
- Syarikat layak juga perlu memohon Fleet Card dari tiga syarikat minyak pilihan selepas pendaftaran SKPS selesai
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
