[VIDEO] Lotus’s Charity Run raih dana pendidikan RM400,000
PUCHONG – Larian Amal Tahunan Lotus’s Ceria Charity Run 2025 sekali lagi membuktikan komitmen berterusan Lotus’s Malaysia dalam memperkasa komuniti kurang berkemampuan melalui pendidikan dan literasi kewangan.
Pengarah Eksekutif Khidmat Korporat Lotus’s Malaysia, Azliza Azmel berkata, acara berkenaan berjaya mengumpulkan RM400,000 hasil sumbangan orang ramai dan lebih 118 rakan jenama.

“Dana ini akan disalurkan sepenuhnya kepada program pendidikan di bawah Lotus’s-PINTAR Smart Up School Programme yang memberi manfaat kepada 6,400 pelajar daripada 63 sekolah angkat di Semenanjung.
“Kutipan itu membolehkan pelaksanaan bengkel literasi kewangan meliputi kemahiran mengurus wang, menjadi pengguna bijak serta memahami kepentingan perancangan kewangan peribadi,” katanya ketika ditemui selepas selesai program pada Ahad.

Ujarnya, melalui program tersebut pihaknya mahu memberi peluang kepada pelajar kurang berkemampuan mendapatkan pendidikan kewangan mampan dan berterusan.
Azliza berkata, penganjuran acara itu adalah sebahagian inisiatif tahunan syarikat untuk menyokong komuniti yang memerlukan di bawah semangat #KitakanJiran.
“Dengan adanya dana tahunan seperti ini, kami dapat memastikan lebih banyak program pendidikan dapat dilaksanakan pada masa depan,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan perpaduan masyarakat dan rakan strategik yang bersama-sama menjayakan program tersebut.
“Sumbangan orang ramai dan sokongan rakan jenama membuktikan solidariti dalam usaha memberi peluang pendidikan yang lebih baik kepada pelajar kita,” ujarnya.
Katanya, acara kali ini berlangsung di Lotus’s Bandar Bukit Puchong dengan penyertaan lebih 4,500 peserta.

“Ini merupakan tahun ketiga penganjuran dan sambutannya amat menggalakkan dengan penglibatan pelbagai peringkat umur,” katanya.
Menurut beliau, terdapat tiga kategori larian ditawarkan iaitu 15 kilometer (km), 10km dan 5km.
“Peserta dilepaskan seawal jam 6 pagi secara berperingkat bagi memastikan kelancaran program,” jelasnya.

Azliza berkata, penganjuran acara itu bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi wadah untuk memberi kembali kepada masyarakat.
“Semangat ini penting kerana ia memberi manfaat kesihatan kepada peserta dan pada masa sama membuka peluang pendidikan kepada ribuan pelajar,” katanya.
Ringkasan AI
- Larian Amal Tahunan Lotus's Ceria Charity Run 2025 mengumpul RM400,000 untuk pendidikan komuniti kurang berkemampuan
- Dana itu akan manfaatkan 6,400 pelajar dari 63 sekolah angkat dalam program pendidikan Lotus's-PINTAR Smart Up School Programme
- Tujuan utama adalah untuk mendidik pelajar tentang literasi kewangan termasuk kemahiran mengurus wang
- Acara ini menunjukkan komitmen Lotus's Malaysia terhadap pembangunan komuniti melalui inisiatif #KitakanJiran
- Diadakan di Lotus's Bandar Bukit Puchong dengan lebih 4,500 peserta dan menyediakan tiga kategori larian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
