Demokrasi dalam Pas tidak mati - Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian ‘Muslim Ummah International Forum’ di Bandar Darulaman pada Ahad.
Tuan Ibrahim ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian ‘Muslim Ummah International Forum’ di Bandar Darulaman pada Ahad.
A
A
A

JITRA - Keputusan tidak mempertandingkan jawatan kepimpinan tertinggi Pas bukan bermakna demokrasi sudah mati dalam parti itu, sebaliknya ia cerminan kepada semangat kesepakatan demi memperkukuhkan gerak kerja parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah tersebut membolehkan Pas memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan Perikatan Nasional (PN) serta jentera pilihan raya tanpa dibayangi isu perebutan jawatan dalaman.

Menurutnya, apabila tiada isu besar dalam pertandingan jawatan, isu dalaman parti tidak berbangkit dan semua pihak dapat memberi tumpuan dalam gerak kerja pilihan raya.

“Sekurang-kurangnya kita tidak ada isu dalaman dan tidak ada isu pemilihan. Satu isu sudah selesai, iaitu melantik Presiden, Timbalan, Naib Presiden. Hampir semua Dewan pun begitu. Jadi kita boleh terus fokus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan ‘Muslim Ummah International Forum’ di Bandar Darulaman pada Ahad.

Tuan Ibrahim berkata, demokrasi dalam Pas tidak diukur melalui pertandingan jawatan semata-mata, sebaliknya berlandaskan persetujuan dan pengagihan tanggungjawab kalangan pemimpin.

“Demokrasi bukan bermakna lawan. Demokrasi maknanya kesepakatan.

“Contoh yang terbaik, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, beliau dapat banyak pencalonan, tetapi memilih untuk tidak bertanding jawatan Naib Presiden kerana mahu fokus kepada tugas sebagai Menteri Besar Kedah dan Pengarah Pilihan Raya,” jelasnya.

Tambah beliau, budaya kempen untuk merebut jawatan tidak diamalkan dalam Pas kerana jawatan dianggap amanah, bukannya perebutan.

Artikel Berkaitan:

“Siapa yang boleh bantu, dia bantu. Dalam Pas pantang berkempen, biasanya siapa kempen, dia kalah. Jadi sebelum kalah baik tarik diri,” katanya.

Tuan Ibrahim tegaskan, fokus utama Pas kini ialah menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dalam masa terdekat sebelum bergerak ke arah sasaran lebih besar untuk memenangi 80 kerusi Parlimen pada PRU16.

“Sekarang waktu untuk fokus gerak kerja, perkukuhkan PN dan jentera parti. Insya-ALLAH kita akan lihat hasilnya,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Keputusan tidak mempertandingkan jawatan kepimpinan tertinggi Pas adalah untuk memperkukuhkan kerjasama dalam parti menjelang PRU16
  • Tiada isu perebutan jawatan membolehkan Pas memberi fokus penuh kepada usaha mengukuhkan Perikatan Nasional dan jentera pilihan raya
  • Demokrasi dalam Pas diukur berdasarkan persetujuan dan pengagihan tanggungjawab, bukan pertandingan jawatan
  • Budaya kempen untuk merebut jawatan tidak diamalkan dalam Pas, jawatan dianggap sebagai amanah
  • Fokus utama Pas adalah menghadapi PRN Sabah dan memenangi 80 kerusi Parlimen pada PRU16

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!