RISDA AgroMajestic: Platform perkasa pendapatan pekebun kecil

Manndzri (duduk tengah), Zainal Azni (duduk, dua) dan Amy Lydia (duduk, kiri) bersama tetamu yang hadir pada Jelajah RISDA AgroMajestic di Pusat Informasi Pelancongan Kota Tinggi.
Manndzri (duduk tengah), Zainal Azni (duduk, dua) dan Amy Lydia (duduk, kiri) bersama tetamu yang hadir pada Jelajah RISDA AgroMajestic di Pusat Informasi Pelancongan Kota Tinggi.
A
A
A

KOTA TINGGI - Karnival Jelajah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) AgroMajestic Zon Selatan 2025 membuka ruang baharu kepada pekebun kecil untuk meningkatkan pendapatan sekali gus mengubah landskap ekonomi desa.

Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, inisiatif berkenaan selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 dan strategi RISDA untuk memperkasa pekebun kecil agar tidak hanya bergantung pada hasil getah semata-mata, sebaliknya mampu meneroka pelbagai sumber pendapatan lain.

“Program ini adalah manifestasi kerajaan dalam memajukan desa. Pekebun kecil perlu dibimbing untuk mempelbagaikan peluang ekonomi menerusi bidang keusahawanan, pemasaran, padanan perniagaan, terutamanya dalam sektor agro,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Jelajah RISDA AgroMajestic di Pusat Informasi Pelancongan Kota Tinggi pada malam Sabtu.

Manndzri (kanan), Amy Lydia (dua dari kanan) dan Zainal Azni (tiga dari kanan) merasmikan logo Jelajah RISDA AgroMajestic di Pusat Informasi Pelancongan Kota Tinggi.
Manndzri (kanan), Amy Lydia (dua dari kanan) dan Zainal Azni (tiga dari kanan) merasmikan logo Jelajah RISDA AgroMajestic di Pusat Informasi Pelancongan Kota Tinggi.

Hadir sama ADUN Panti, Hahasrin Hashim; Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli dan Pengarah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah negeri Johor, Amy Lydia Adnan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, lokasi pilihan penganjuran mempunyai potensi besar dari sudut pertanian dan pelancongan selain mudah diakses, sekali gus diyakini mampu menarik lebih 10,000 pengunjung sepanjang tiga hari berlangsung.

"Melalui pelaksanaan program ini, bertepatan pula dengan musim cuti sekolah, kita mahu menjadikan lokasi ini sebagai destinasi pilihan keluarga, sahabat handai dan komuniti untuk berlibur, menimba ilmu, serta menyokong produk dan inisiatif tempatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Antara pengisian menarik termasuk pertandingan mewarna, sukan rakyat, program kerohanian, jualan produk tempatan dan pameran agro, manakala acara kemuncak menyaksikan pelancaran rasmi logo Jelajah RISDA AgroMajestic serta sambutan Hari Malaysia.

Dalam pada masa sama, ujar beliau, RISDA telah diberi amanah oleh KKDW untuk memperkasa pendapatan 1,349 orang pekebun kecil seluruh negara tahun inimelalui Program Agromakanan dengan peruntukan RM24.19 juta.

Seramai 130 pekebun kecil di Johor menerima manfaat melalui Program Agromakanan yang dilaksanakan RISDA ini.

Selain itu, Manndzri memberitahu RISDA turut dilantik oleh KKDW sebagai agensi pelaksana Kajian Cadangan Baharu Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) di daerah ini, melibatkan sembilan kampung di Mukim Ulu Sungai Johor dengan lebih 37,000 penduduk.

"Kajian berkenaan akan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi komuniti secara in-situ tanpa perlu membuka kawasan baharu, meliputi sektor pelancongan desa, perniagaan makanan, cabin stay, aktiviti hiliran, pusat pemprosesan makanan, selain menaik taraf prasarana asas, perumahan dan pembangunan sahsiah setempat.

"RISDA akan melaksanakan kajian itu bersama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai rakan strategik akademik, dengan penyerahan Surat Arahan Pelaksanaan (SAP) Kajian PROSPEK Tenggara menjadi simbol komitmen ke arah pembangunan desa inklusif dan berimpak tinggi,"ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!