Hapus matrikulasi, jurang makin melebar - Nurulhidayah

Nurulhidayah
Nurulhidayah
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan untuk menghapuskan laluan matrikulasi dan hanya mewajibkan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai syarat kemasukan ke universiti disifatkan tidak berpihak kepada kepentingan rakyat secara menyeluruh.

Ahli Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, matrikulasi sejak sekian lama menjadi pintu mobiliti sosial kepada anak-anak Malaysia, khususnya daripada keluarga luar bandar dan berpendapatan sederhana.

"Menghapuskan laluan itu bukan sahaja mengecilkan akses pendidikan, malah bakal menambah jurang antara pelajar bandar dan luar bandar serta golongan kaya dan miskin.

"Pendidikan bukan medan eksperimen dasar separuh masak. Universiti harus terbuka kepada semua, bukan hanya mereka yang mampu bertahan dengan sistem STPM yang panjang dan mencabar," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) dilapor menuntut supaya program matrikulasi dimansuhkan dan menjadikan silibus STPM sebagai piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam bagi jurusan ijazah.

Presidennya, Tang Yi Ze berkata, ini kerana pihaknya mendapati silibus STPM terbukti lebih baik.

Bagaimanapun, cadangan itu dibantah pelbagai pihak termasuklah Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang mengadakan himpunan aman bagi membantah tuntutan UMANY tersebut pada Sabtu.

Nurulhidayah berpandangan, apa yang perlu dilakukan adalah menambah laluan pendidikan, bukannya menghapuskan laluan sedia ada.

"Universiti negara ini harus kekal menjadi ruang inklusif yang meraikan kepelbagaian latar belakang pelajar, bukan hanya milik segelintir yang mampu melalui laluan lebih sukar dan panjang," ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Beliau menyokong usaha memperkasakan STPM, namun menegaskan ia tidak boleh dijadikan satu-satunya laluan.

"Kedua-dua sistem pendidikan itu perlu dipertingkatkan agar lebih adil, setara dan berkualiti kerana masa depan negara tidak boleh dibina dengan menutup pintu peluang pendidikan kepada anak-anak muda," menurutnya lagi.

Ringkasan AI

  • Cadangan penghapusan laluan matrikulasi ditentang kerana dikatakan tidak berpihak kepada kepentingan rakyat
  • Matrikulasi penting untuk mobiliti sosial terutamanya anak-anak dari keluarga luar bandar dan berpendapatan sederhana
  • Menghapuskan laluan matrikulasi dilihat akan menambah jurang antara pelajar bandar dan luar bandar serta golongan kaya dan miskin
  • Adalah penting untuk menambah dan memperbaiki laluan pendidikan sedia ada bukannya menghapuskannya
  • Kedua-dua sistem, matrikulasi dan STPM, perlu dipertingkatkan untuk keadilan, kesetaraan dan kualiti pendidikan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!