Botok-botok juadah unik, hampir pupus

Sharifah Saharazad menunjukkan botok-botok iaitu sejenis makanan warisan hampir pupus di Festival Cita Rasa Warisan 2025, di Taman Tasik Titiwangsa, di sini pada Sabtu. Foto SINAR HARIAN/ AISYAH BASARUDDIN
Sharifah Saharazad menunjukkan botok-botok iaitu sejenis makanan warisan hampir pupus di Festival Cita Rasa Warisan 2025, di Taman Tasik Titiwangsa, di sini pada Sabtu. Foto SINAR HARIAN/ AISYAH BASARUDDIN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Makanan tradisi Jawa, botok-botok boleh dianggap juadah yang hampir pupus ekoran hanya tinggal golongan berusia sahaja mampu menghasilkannya.

Menurut perkongsian peniaga, Sharifah Saharazad Syed Hashim, 59, penggunaan bahan utama dalam membuat botok-botok juga sukar ditemui di pasar melainkan tanam sendiri seperti daun pokok puding, mengkudu, bebuas, kaduk, kunyit, dan banyak lagi.

Jelas wanita asal Johor itu, kesemua bahan akan dikisar, disapu pada kepingan ikan tenggiri, dibalut menggunakan daun pisang kemudiannya dikukus selama 30 minit.

“Kalau stail Jawa pakai kelapa parut, Johor guna kerisik kelapa, itu antara perbezaannya.

“Boleh dikatakan hanya saya yang menjual botok-botok, susah nak jumpa generasi zaman sekarang meniaga makanan warisan ini.

“Disebabkan itulah Jabatan Warisan Negara jemput saya buka gerai jualan di Festival Cita Rasa Warisan 2025 supaya orang ramai tahu tentang juadah hampir pupus ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Festival Cita Rasa Warisan 2025 berlangsung dalam acara utamanya iaitu Festival Budaya Malaysia 2025 bertempat di Taman Tasik Titiwangsa, di sini.

Acara anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) tersebut diadakan bermula 12 hingga 16 September ini dari jam 9 pagi ke 12 tengah malam.

Sementara itu, peniaga, Siti Fauziah Misnan, 47, turut menampilkan juadah tradisional dan jarang jumpa iaitu lontong darat.

Artikel Berkaitan:

Siti Fauziah mempamerkan lontong darat, makanan warisan asal Jawa di Festival Cita Rasa Warisan 2025 di Taman Tasik Titiwangsa pada Sabtu.
Siti Fauziah mempamerkan lontong darat, makanan warisan asal Jawa di Festival Cita Rasa Warisan 2025 di Taman Tasik Titiwangsa pada Sabtu.

Katanya, lontong darat asal Jawa itu amat berbeza dengan jenis yang lazimnya dinikmati masyarakat iaitu lontong berkuah lodeh.

Jelas Siti Fauziah, lontong darat disediakan kering berserta pelbagai lauk sampingan antaranya ayam masak kicap, sambal Jawa, kuah kacang, sambal tumis dan serunding.

“Bezanya ia tidak berkuah, kalau selama ini kita kenal lontong berkuah santan. Ini makanan orang zaman dahulu dan tak ramai yang menjualnya kerana satu menu menggunakan pelbagai jenis lauk sampingan.

“Agak remeh juga untuk sediakannya dalam satu-satu masa. Jadi, ilmu membuat lontong darat ini diturunkan kepada anak-anak pula.

“Ramai yang beritahu susah nak jumpa lontong darat ini, kalau balik kampung di Johor barulah boleh dapat,” ujar wanita asal Batu Pahat itu lagi.

Mengulas mengenai makanan hampir pupus, Pengarah Bahagian Warisan Tak Ketara Jabatan Warisan Negara, Dr Eyo Leng Yan memaklumkan, terdapat pelbagai jenis juadah 'rare' bakal disajikan sepanjang Festival Cita Rasa Warisan 2025 di Kuala Lumpur berlangsung.

Beliau turut menambah, ini merupakan siri keempat jelajah festival di mana sebelumnya dibuat di Kedah, Sabah dan Kelantan.

“Kita bertanggungjawab memperkenalkan kepelbagaian budaya dan warisan di setiap negeri. Di sini (Taman Tasik Titiwangsa) berkaitan makanan warisan dan hampir pupus contohnya botok-botok, serabai, dangai serta banyak lagi, kita nak mempromosikannya.

“Sejak hari pertama berlangsung, kita terima banyak maklum balas positif daripada 30 peniaga yang membuka reruai jualan dan menjual makanan warisan negeri.

“Katanya jualan sangat laris, bahkan terjual sampai licin! Sambutan amat menggalakkan dan bukan semua orang berpeluang merasai makanan warisan di satu tempat,” ujar beliau.

Siri jelajah Festival Cita Rasa Warisan 2025 yang terakhir bakal berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang.

 

 

Ringkasan AI

  • Botok-Botok adalah juadah tradisi Jawa yang hampir pupus dan hanya tinggal golongan berusia yang mampu menghasilkannya
  • Bahan utamanya termasuk daun pokok puding dan mangkudu sukar ditemui melainkan tanam sendiri
  • Sharifah Saharazad, peniaga, menyatakan perbezaan antara stail Jawa dan Johor dalam membuat Botok-Botok adalah penggunaan kelapa
  • Festival Cita Rasa Warisan 2025 di Kuala Lumpur mempromosikan makanan warisan yang hampir pupus termasuk Botok-Botok
  • Siri jelajah Festival Cita Rasa Warisan 2025 berlangsung di beberapa lokasi dengan edisi terakhir akan diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!