PM Qatar kecam serangan Israel di Doha sebagai ‘keganasan negara’

Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani - Foto: Agensi
Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani - Foto: Agensi
A
A
A

ISTANBUL - Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani pada Ahad mengecam serangan udara Israel ke atas Doha sebagai tindakan "keganasan negara” dan pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan negaranya.

Berucap pada mesyuarat persiapan menjelang Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam pada Isnin di Doha, Sheikh Mohammed menyifatkan serangan itu sebagai tindakan "semborono dan khianat” yang dilancarkan ketika Qatar menjadi tuan rumah rundingan sensitif mengenai Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Beliau menegaskan serangan itu bukan sekadar menyasarkan lokasi, tetapi "prinsip pengantaraan itu sendiri,” dan mencerminkan kegagalan masyarakat antarabangsa untuk mendesak Israel dipertanggungjawabkan.

"Apa yang menggalakkan Israel meneruskan amalan ini ialah ketidakupayaan masyarakat antarabangsa mengekangnya,” katanya sambil memberi amaran bahawa serangan itu hanya akan menghalang proses rundingan.

Perdana Menteri Qatar itu menggesa dunia agar tidak berdiam diri terhadap "pencerobohan kejam” dan menuntut penghapusan sikap dwistandard dalam menangani Israel.

Beliau menekankan bahawa keamanan dan keselamatan di rantau ini tidak akan tercapai tanpa rakyat Palestin memperoleh hak mereka yang sah.

Sheikh Mohammed turut menegaskan tindakan Israel tidak akan melemahkan usaha Qatar meneruskan pengantaraan bersama Mesir dan Amerika Syarikat, serta mengalu-alukan konsensus Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini yang mengecam Israel dan menyokong Doha.

Menteri-menteri luar negara Arab dan Islam mengadakan mesyuarat tertutup di Doha pada Ahad sebagai persiapan untuk sidang kemuncak tergempar yang akan menghimpunkan ketua negara pada Isnin.

Mesyuarat itu berlangsung susulan serangan udara Israel pada Selasa ke atas sebuah kawasan kediaman di Doha yang mengorbankan lima pemimpin Hamas ketika mereka sedang membincangkan cadangan Amerika Syarikat untuk menamatkan perang di Gaza, yang setakat ini telah meragut hampir 65,000 nyawa rakyat Palestin sejak Oktober 2023. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Qatar mengecam serangan udara Israel sebagai tindakan keganasan negara dan pelanggaran terhadap kedaulatan Qatar
  • Sheikh Mohammed menyatakan serangan tersebut menghalang proses rundingan dan mencerminkan kegagalan masyarakat antarabangsa mempertanggungjawabkan Israel
  • Beliau berpendapat serangan tersebut tidak hanya menyasarkan lokasi tetapi juga prinsip pengantaraan
  • Qatar tidak akan berdiam diri terhadap pencerobohan kejam Israel dan menuntut penghapusan sikap dwistandard dalam menangani Israel
  • Mesyuarat menteri-menteri luar negara Arab dan Islam diadakan di Doha sebagai persiapan untuk sidang kemuncak tergempar Arab-Islam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!