Konflik Israel - Qatar: PM hadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam bagi membincangkan serangan Israel terhadap Qatar pada 15 September ini di Doha, Qatar.
Menurut Wisma Putra, Anwar akan diiringi oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan serta pegawai kanan Kementerian Luar Negeri.
Sidang kemuncak itu akan menghimpunkan pemimpin dan wakil negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), manakala mesyuarat persediaan peringkat menteri akan berlangsung sehari lebih awal pada 14 September.
“Penyertaan Perdana Menteri dalam Sidang Kemuncak Tergempar ini menunjukkan sokongan penuh dan solidariti terhadap Qatar selain kesinambungan usaha Malaysia dalam mempertahankan hak rakyat Palestin serta mengecam kekejaman dan keganasan Israel,” jelas kenyataan itu pada Sabtu.
Wisma Putra turut memaklumkan Perdana Menteri juga dijadual menyampaikan kenyataan negara pada sidang berkenaan bagi menegaskan pendirian tegas Malaysia bahawa keamanan serantau dan dunia akan terus terancam sekiranya Israel dibiarkan mencabul undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kedaulatan negara.
Sidang kemuncak itu turut dijangka meluluskan satu resolusi yang menggariskan tindakan serta pendirian bersama negara anggota dalam menangani isu tersebut.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Qatar
- Anwar diiringi oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dan pegawai kanan Kementerian Luar Negeri
- Sidang ini membahas serangan Israel terhadap Qatar dengan penghimpunan pemimpin Pertubuhan Kerjasama Islam
- Menunjukkan sokongan Malaysia terhadap Qatar dan usaha mempertahankan hak rakyat Palestin
- Anwar akan menyampaikan kenyataan negara, menekankan bahaya pelecehan Israel terhadap undang-undang antarabangsa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

