Anwar bakal sampaikan kenyataan negara pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam

Anwar Ibrahim. Foto Bernama
Anwar Ibrahim. Foto Bernama
A
A
A

DOHA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan kenyataan negara pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam malam ini, dengan mengecam serangan udara terbaharu Israel di Doha yang menyasarkan kepimpinan Hamas serta menekankan penderitaan kemanusiaan berterusan di Gaza.

Anwar dijangka berucap pada sidang kemuncak itu pada jam 6 petang waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia).

Beliau akan menegaskan semula solidariti Malaysia yang tidak berbelah bahagi dengan Qatar serta komitmen teguh mempertahankan hak rakyat Palestin, selain mengecam kekejaman Israel.

Perdana Menteri menghadiri sidang kemuncak itu atas jemputan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani.

Anwar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad pada jam 9.30 malam semalam waktu tempatan (2.30 pagi waktu Malaysia, 15 Sept) dan menerima kawalan kehormatan daripada Pengawal Istiadat Amiri Qatar dan disambut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Qatar Sheikh Saoud bin Abdulrahman Al-Thani.

Sidang kemuncak itu akan dihadiri pemimpin dan wakil negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Antara pemimpin yang dijangka hadir ialah Presiden Iran Masoud Pezeshkian, Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, Perdana Menteri Iraq Mohammad Shia al-Sudani dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas.

Di sela-sela sidang kemuncak, Anwar juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin negara Islam.

Mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan serta pegawai kanan Kementerian Luar Negeri.

Artikel Berkaitan:

Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam dijangka mengeluarkan Kenyataan Bersama yang merangkumi tindakan kolektif serta pendirian bersama berhubung isu tersebut.

Sebelum sidang kemuncak berlangsung, diadakan Mesyuarat Peringkat Menteri pada 14 September.

Antara agenda utama ialah perkembangan terkini di Gaza dan Palestin, serta serangan udara Israel di Doha yang menyasarkan kepimpinan Hamas dan mengorbankan enam individu termasuk seorang pegawai keselamatan Qatar. - Bernama

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan kenyataan negara di Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam, mengecam serangan udara Israel
  • Anwar dijangka berucap pada jam 6 petang waktu tempatan yang menekankan penderitaan di Gaza dan solidariti Malaysia dengan Qatar serta hak rakyat Palestin
  • Beliau menghadiri atas jemputan Emir Qatar dan disambut dengan upacara kehormatan oleh Pengawal Istiadat Amiri Qatar
  • Sidang dihadiri oleh pemimpin dari anggota Pertubuhan Kerjasama Islam termasuk Presiden Iran, Perdana Menteri Pakistan, Perdana Menteri Iraq, dan Presiden Palestin
  • Kenyataan Bersama dijangka dikeluarkan, merangkumi tindakan kolektif dan pendirian bersama mengenai isu serangan udara Israel di Doha serta situasi di Gaza dan Palestin

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!