Presiden Turkiye, Erdogan ke Qatar hadiri Sidang Kemuncak Arab-Islam

ISTANBUL - Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada Isnin berlepas ke Qatar bagi menghadiri sidang kemuncak tergempar Arab-Islam yang diadakan susulan serangan Israel ke atas Doha minggu lepas, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Erdogan diiringi isterinya, Emine Erdogan, Ketua Pertubuhan Perisikan Negara (MIT) Ibrahim Kalin, Ketua Penasihat Presiden bagi Dasar Luar dan Keselamatan Akif Cagatay Kilic, Pengarah Komunikasi Burhanettin Duran, serta Timbalan Pengerusi Parti Keadilan dan Pembangunan (AK), Halit Yerebakan.
Sidang kemuncak Arab-Islam di Doha menghimpunkan ketua negara dan pegawai kanan dari seluruh rantau.
Sidang itu dipanggil oleh Qatar sebagai respons kepada serangan Israel yang menyasarkan pemimpin Hamas di Doha minggu lepas, mengorbankan lima anggota kumpulan itu dan seorang pegawai keselamatan Qatar.
Qatar, bersama AS dan Mesir, sebelum ini menjadi perantara dalam rundingan untuk menamatkan perang Israel di Gaza, yang telah meragut hampir 65,000 nyawa rakyat Palestin sejak Oktober 2023. - Bernama
Ringkasan AI
- Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berlepas ke Qatar untuk menghadiri sidang kemuncak tergempar Arab-Islam
- Erdogan diiringi isteri dan beberapa pegawai kanan termasuk Ketua Perisikan Negara dan Penasihat Presiden bagi Dasar Luar dan Keselamatan
- Sidang kemuncak Arab-Islam di Doha dihadiri ketua negara dan pegawai kanan dari seluruh rantau
- Sidang ini merupakan respons kepada serangan Israel yang menyasarkan pemimpin Hamas di Doha, mengorbankan enam orang
- Qatar, AS dan Mesir sebelum ini menjadi perantara dalam rundingan untuk menamatkan perang Israel di Gaza
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
