Kerajaan berjaya henti budaya pemimpin rompak harta rakyat – PM

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya telah berjaya menghentikan budaya penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pemimpin untuk merompak harta rakyat.
Beliau berkata, langkah itu sekali gus memperkukuhkan asas tadbir urus negara yang lebih telus dan berintegriti, meskipun berdepan pelbagai kecaman serta persepsi negatif.
“Kalau orang tanya saya, selama hampir tiga tahun ini, budaya orang yang pegang kuasa untuk curi harta rakyat, kita dah hentikan.
“Ya, memang ada kes lama, tetapi yang penting (kini) semua ikut proses,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Program Rapat Umum 27 Tahun Reformasi Peringkat Negeri Johor di sini pada Sabtu.
Beliau turut menegaskan bahawa tiada sesiapa pun yang mempunyai hak untuk mengaut kekayaan rakyat secara salah, sama ada individu berpengaruh mahupun keluarga mereka.
Dalam ucapannya, Anwar yang juga Presiden PKR turut mengingatkan ketua cabang parti supaya lebih kerap turun padang mendekati rakyat dan tidak sekadar aktif di media sosial.
Menurutnya, kesemua 26 ketua cabang di Johor seharusnya memberi penerangan mengenai program dan inisiatif kerajaan kepada rakyat.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kerajaan telah menghentikan budaya penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pemimpin
- Langkah ini memperkukuh asas tadbir urus negara yang lebih telus dan berintegriti
- Anwar menegaskan tiada sesiapa berhak mengaut kekayaan rakyat secara salah
- Beliau mengingatkan ketua cabang parti supaya lebih mendekati rakyat dan bukan hanya aktif di media sosial
- Ketua cabang di Johor diarahkan menyampaikan maklumat tentang program dan inisiatif kerajaan kepada rakyat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

