Anwar jamin harga RON95 turun RM1.99 seliter akhir September

JOHOR BAHRU – Kerajaan memberi jaminan harga petrol RON95 akan turun kepada RM1.99 seliter pada akhir bulan ini sebagaimana pengumuman yang dibuat pada Julai lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat tidak perlu bimbang kerana janji yang pernah dibuat tetap akan ditunaikan walaupun berdepan cabaran semasa.
"Ada yang marah kerana September sudah tiba tetapi harga minyak belum turun.
"Saya kata sebelum akhir September, adakah 10 September sudah dianggap akhir bulan?" katanya ketika berucap pada Rapat Umum 27 Tahun Reformasi PKR Johor di sebuah hotel pada Sabtu.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ketika kebanyakan negara tidak menurunkan harga petrol, Malaysia mampu melaksanakannya.
"Beritahu saya, negara mana yang menurunkan harga petrol mereka ketika ini? Sebab negara ini diperintah oleh kerajaan yang memikirkan rakyat dan menunaikan janji," ujarnya.
Jelasnya, kepentingan rakyat sentiasa diambil kira dalam isu penetapan harga minyak, kenaikan gaji pekerja dan bantuan kepada rakyat.
“Perdana Menteri tidak ambil gaji, malah gaji menteri dipotong sebanyak 20 peratus,” katanya.
Pada 23 Julai lalu, Anwar mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter bagi warganegara Malaysia sahaja menjelang akhir September.
Beliau menegaskan, situasi ekonomi yang mencabar serta ketidaktentuan global mendesak kerajaan mengambil pelbagai langkah bagi memastikan ekonomi negara kembali berada pada landasan yang tepat.
Buat masa ini, harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.05 seliter, manakala harga runcit petrol RON97 naik dua sen kepada RM3.18 seliter bagi tempoh 11 hingga 17 September, menurut Kementerian Kewangan.
Ringkasan AI
- Kerajaan janji harga petrol RON95 akan turun kepada RM1.99 seliter pada akhir bulan ini
- Perdana Menteri berkata, janji penurunan harga petrol akan ditunaikan walaupun berdepan cabaran
- Malaysia mampu turunkan harga petrol ketika kebanyakan negara tidak
- Kepentingan rakyat diambil kira dalam penetapan harga minyak
- Harga runcit petrol RON95 kekal pada RM2.05 seliter hingga pertengahan September
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

