Lelaki direman 6 hari bantu siasatan kes lelaki, wanita ditikam

SUNGAI PETANI - Seorang lelaki yang disyaki mempunyai kaitan dengan kematian seorang lelaki dan wanita di Taman Nona, Guar Chempedak pada Khamis direman bagi membantu siasatan.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Noor Fazlina Musa di Mahkamah Sungai Petani pada jam kira-kira 9.15 pagi, Sabtu.
Suspek berusia 29 tahun itu direman selama enam hari bermula 13 hingga 18 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Peguam mewakili suspek, Abdul Hayyi Salim yang hadir pada proses reman berkata, beliau difahamkan penahanan dibuat di hadapan sebuah kedai di tepi jalan di Kuala Terengganu pada Jumaat.
“Hari ini mahkamah membenarkan suspek direman selama enam hari dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah.
Ketika ditanya sama ada suspek mengalami sebarang kecederaan, beliau memaklumkan suspek berada dalam keadaan baik.
Menurutnya, suspek merupakan pekerja swasta dan sedang mencari kerja di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Superintenden Mohd Hamizi Abdullah mengesahkan suspek ditahan di Kuala Terengganu pada jam 9.45 pagi, Jumaat.
Bagaimanapun, katanya, status hubungan suspek dengan mangsa wanita masih dalam siasatan.
Dalam perkembangan sama, satu sidang media dijangka diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada Ahad berhubung perkembangan kes berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita dan lelaki ditemukan maut dengan beberapa kesan tikaman pada badan di Taman Nona, Guar Chempedak, Yan, Khamis lalu.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki disyaki berkaitan kematian dua orang di Taman Nona, Guar Chempedak direman
- Majistret Sungai Petani keluarkan perintah reman selama enam hari
- Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan
- Suspek berusia 29 tahun ditahan di Kuala Terengganu
- Status hubungan suspek dengan mangsa masih dalam siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

