Lelaki, wanita ditemui maut dengan kesan tikaman disyaki dibunuh

GUAR CHEMPEDAK – Seorang lelaki dan wanita ditemukan maut dengan kesan tikaman di Taman Nona di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Mohd Hamizi Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 9.40 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa lelaki berusia 30 tahun manakala wanita terbabit berusia 28 tahun.
“Wanita itu ditemui dalam sebuah kereta Proton Wira di hadapan sebuah rumah, manakala lelaki berkenaan dijumpai di atas jalan di taman perumahan itu dengan beberapa kesan tikaman di badan.

“Kita percaya kecederaan itu berpunca daripada objek tajam, namun bagaimana kejadian berlaku hingga menyebabkan kedua-duanya meninggal dunia masih dalam siasatan,” katanya ketika ditemui di lokasi, awal pagi tadi.
Mohd Hamizi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai hubungan kedua-dua mangsa selain motif kejadian.

Beliau memaklumkan, mangsa lelaki dipercayai berasal dari Yan manakala wanita itu dari Sungai Petani.
“Kita juga menyiasat ke mana mereka hendak pergi ketika itu dan punca kejadian berlaku. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Setakat ini tiada tangkapan dilakukan,” katanya.
Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki dan wanita ditemukan maut dengan kesan tikaman di Taman Nona
- Mangsa lelaki berusia 30 tahun dan wanita berusia 28 tahun
- Kecederaan dipercayai berpunca daripada objek tajam
- Penyiasatan masih berjalan mengenai hubungan dan motif kejadian
- Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

