Autonomi Gas Sarawak: Antara keperluan negeri dan kestabilan negara

PETALING JAYA – Gas kini bukan lagi sekadar sumber tenaga di Malaysia, sebaliknya sudah menjadi medan perebutan kuasa dan hasil antara kerajaan negeri dan persekutuan.
Sarawak kini bergerak pantas untuk mengukuhkan masa depan tenaganya. Selepas bertahun-tahun menuntut hak, negeri itu mendesak syarat lebih baik dengan Petronas, satu langkah yang dianggap bakal mengubah landskap hubungan persekutuan–negeri.
Namun, penganalisis memberi amaran bahawa pertaruhannya besar kerana kesannya boleh melangkaui Sarawak serta mengubah keseluruhan ekosistem gas negara, termasuk bekalan domestik hingga eksport global.
Persoalannya bukan sama ada Sarawak layak mendapat lebih banyak, tetapi ‘berapa banyak, seberapa cepat’ dan atas syarat apa, tanpa menjejaskan kerangka tenaga negara.
Sarawak tuntut autonomi ekonomi
Usaha Sarawak menguasai lebih banyak sumber gas berpunca daripada keinginan lama negeri itu untuk memperoleh autonomi ekonomi.
Menurut penganalisis minyak dan gas, Jamil Ghani, 60 peratus gas Malaysia berada di perairan Sarawak, tetapi negeri itu hanya menikmati sebahagian kecil untuk kegunaan sendiri.
“Kira-kira 94 peratus gas dieksport sebagai LNG, manakala hanya enam peratus digunakan untuk pasaran domestik.
“Jika Sarawak tidak diberi peranan dalam pengagregatan gas, ketidakseimbangan ini akan berterusan sekali gus menjejaskan cita-cita perindustrian hiliran negeri,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerjasama lebih penting daripada konfrontasi kerana sektor tenaga bukanlah permainan sifar.
Jelas Jamil, jika sistem runtuh akibat tekanan bersaing, kedua-dua negeri dan negara akan sama-sama rugi.
Petros mahu jadi pengagregator tunggal
Sarawak menuntut syarikat milik negeri iaitu Petros, dilantik sebagai pengagregator tunggal gas, membeli daripada pengeluar huluan dan menjual semula kepada pengguna hiliran.
Langkah itu akan memberi negeri berkenaan kuasa besar dalam penentuan harga dan dasar.
Namun, Jamil sekali lagi mengingatkan bahawa cadangan itu mungkin sukar dipertahankan dari segi struktur.
“Ia akan membolehkan Petros membeli gas huluan pada harga rendah dan menjual semula dengan margin lebih tinggi.
“Tetapi kontrak LNG sudah terkunci dan ini boleh menyebabkan Petronas menanggung kerugian besar walaupun masih terikat dengan komitmen eksport jangka panjang,” tegasnya.
Sebagai jalan tengah, beliau mencadangkan model perkongsian di mana Petros mengawal harga dan pengedaran dalam negeri, manakala Petronas mengekalkan kuasa terhadap pengeluaran huluan serta eksport LNG.
Tuntutan RM10 bilion dan lebih banyak gas
Sarawak juga meletakkan dua tuntutan utama iaitu bayaran tetap tahunan RM10 bilion dan peningkatan tiga kali ganda bekalan gas untuk negeri.
Namun, keupayaan Petronas untuk membayar jumlah sebesar itu bergantung kepada margin pengagregator yang berubah-ubah mengikut pasaran dan permintaan.
“Tiada syarikat tenaga boleh berjanji dengan bayaran tetap berdasarkan pendapatan tidak menentu. Model sebegini boleh menyebabkan Petronas muflis,” tegas bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim di platform X.
Selain itu, permintaan Sarawak untuk 1.2 bilion kaki padu gas sehari, berbanding 450 juta sekarang juga bergantung kepada kejayaan negeri itu mendapatkan perjanjian bekalan yang mengikat.
“Permintaan mesti mendahului bekalan, bukan sebaliknya,” kata Jamil sambil menambah pendekatan lebih mampan ialah mengaitkan bayaran dengan prestasi sebenar, bukan ramalan.
Isu perundangan
Sarawak turut menuntut supaya Petronas dikecualikan daripada Distribution of Gas Ordinance 2016 bagi operasinya di negeri itu.
Namun, kerajaan persekutuan kurang senang kerana Petroleum Development Act (PDA) 1974 dengan jelas memberi hak milik dan kawalan peraturan petroleum kepada syarikat minyak negara.
Menteri Undang-Undang, Azalina Othman, bulan lalu mengingatkan Parlimen bahawa PDA kekal sebagai kerangka undang-undang utama industri petroleum Malaysia.
“Jika ia diketepikan, akan wujud pertindihan bidang kuasa serta ketidaktentuan pelabur,” katanya.
Jamil pula menegaskan, apa yang perlu diperkukuh ialah keutamaan PDA serta dasar mesra pelabur dan iada perniagaan patut dijadikan tebusan dengan penggunaan peraturan sebagai senjata.
Jalan ke hadapan
Menurut penganalisis, perjanjian yang berdaya maju perlu berlandaskan tiga prinsip utama:
1. Model pengagregator bersama di mana Petros memimpin harga dan edaran domestik, manakala Petronas kekal berkuasa dalam aspek lain.
2. Pengembangan mesti dipacu oleh permintaan sebenar, bukan spekulasi, dengan bayaran berdasarkan prestasi dan bukan jumlah tetap.
3. Peranan undang-undang perlu dihormati dengan PDA terus menjadi tulang belakang kawal selia negara.
Jika tiga prinsip ini dipatuhi, perjanjian Petronas–Petros bukan sahaja dapat menyelesaikan isu semasa, malah menjadi model kerjasama persekutuan–negeri yang menguatkan Sarawak tanpa melemahkan Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
