Kerja fleksibel penjawat awam: Antara keperluan, cabaran mentaliti lama

Kemajuan teknologi seperti AI menjadikan sistem kerja tradisional berasaskan pejabat semakin kurang relevan. Foto hiasan
Kemajuan teknologi seperti AI menjadikan sistem kerja tradisional berasaskan pejabat semakin kurang relevan. Foto hiasan
A
A
A

LANGKAH Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang kini berada di fasa akhir kajian pelaksanaan waktu kerja fleksibel dan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) untuk penjawat awam wajar dipuji.

Tindakan itu mencerminkan keseriusan kerajaan menyesuaikan sistem kerja dengan tuntutan semasa, terutama dengan masalah kesesakan lalu lintas di bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang yang semakin meruncing ketika ini.

Selain itu, kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) menjadikan sistem kerja tradisional berasaskan pejabat semakin kurang relevan.

Apatah lagi selepas pengalaman pandemik Covid-19, ramai majikan sudah membuktikan keberkesanan model kerja fleksibel tanpa menjejaskan produktiviti.

Bagi sektor awam, pelaksanaan ini bukan sahaja boleh mengurangkan kos operasi, malah mampu mengurangkan tekanan emosi dan fizikal penjawat awam yang terpaksa berdepan kesesakan harian.

Namun, realitinya tidak semudah itu untuk dilaksanakan di sektor awam yang mempunyai lebih 1.5 juta kakitangan tetap dan kontrak di pelbagai jabatan serta agensi.

Biarpun sektor swasta mungkin sudah jauh ke hadapan, sektor awam masih terikat dengan budaya lama yang menilai kerja berdasarkan kehadiran fizikal, bukan prestasi.

Kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, menggambarkan komitmen JPA untuk mencari keseimbangan antara keperluan organisasi dan kebajikan penjawat awam.

Artikel Berkaitan:

Pengecualian khas kepada wanita hamil dan mangsa musibah turut menunjukkan pendekatan yang lebih manusiawi dalam tadbir urus perkhidmatan awam.

Namun, cabaran utamanya kini bukan pada dasar atau teknologi, tetapi pada sikap dan mentaliti pengurusan pertengahan. Masih wujud ketua jabatan yang skeptikal terhadap kejujuran pekerja apabila tidak berada di pejabat. Inilah halangan sebenar yang perlu diatasi.

Tanpa kepercayaan dan kefahaman terhadap sistem berasaskan hasil kerja, dasar kerja fleksibel berisiko gagal dilaksanakan dengan berkesan.

Justeru, pelaksanaan dasar ini perlu disokong dengan sistem pemantauan berasaskan prestasi seperti penggunaan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas dan penilaian berkala. Fokus perlu beralih daripada masa bekerja kepada nilai output yang dihasilkan.

Fleksibiliti bukan bermakna memanjakan penjawat awam, tetapi mencerminkan realiti hidup moden yang lebih kompleks – dari isu penjagaan anak, kesihatan mental hingga kepada kos sara hidup yang meningkat.

Negara-negara maju telah lama mengadaptasi sistem kerja fleksibel. Malaysia tidak boleh terus terkebelakang hanya kerana terperangkap dengan budaya kerja lapuk.

Bagaimanapun, perubahan ini perlu diiringi dengan latihan semula kepada pengurus dan pemimpin jabatan agar memahami prinsip kerja berdasarkan kepercayaan, prestasi objektif serta penggunaan teknologi pemantauan yang adil dan beretika.

Usaha memodenkan sistem kerja penjawat awam ialah langkah reformasi penting. Namun, kejayaannya bergantung pada kesediaan kita merombak cara fikir dan budaya kerja yang sudah berakar umbi.

Penjawat awam ialah nadi pentadbiran negara. Memberi mereka ruang bekerja secara fleksibel bukan kelemahan, sebaliknya satu kekuatan baharu yang perlu dimanfaatkan demi masa depan perkhidmatan awam yang lebih dinamik dan berkesan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!