13 tahun berlalu selepas pembunuhan kejam Nurin Jazlin

Jazimin menguruskan jenazah Allahyarham Nurin Jazlin.
Jazimin menguruskan jenazah Allahyarham Nurin Jazlin.
A
A
A

TRAGEDI melibatkan pembunuhan kejam seorang kanak-kanak, Nurin Jazlin Jazimin, 8, bermula selepas dia dilaporkan hilang ketika keluar ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.

Pelbagai usaha dilakukan melalui media dan orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengesan murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Setapak, Setapak, Kuala Lumpur itu.

Pada pagi 17 September 2007, sebuah beg sukan yang ditinggalkan di hadapan sebuah rumah kedai di PJS 1/48, Petaling Jaya ditemui oleh pemilik kedai.

Beg itu mengandungi badan kanak-kanak tanpa seurat benang dan dibiarkan dalam keadaan bogel.

Mayat kanak-kanak yang tidak dikenali itu yang disumbat dalam beg berkenaan dan polis percaya bahawa kanak-kanak itu telah mati lebih daripada enam jam sebelum penemuan berkenaan.

Lebih menyayat hati, timun dan terung ditemui disumbat dalam kemaluan kanak-kanak itu yang juga telah menyebabkan rektumnya pecah.

Hasil bedah siasat menyatakan jangkitan bakteria telah menyumbang kepada kematian mangsa.

Ketika kejadian, ibu bapa Nurin Jazlin tidak dapat mengenal pasti mayat itu sebagai anak perempuan mereka kerana perubahan dalam ciri-ciri fizikal kanak-kanak terbabit.

Artikel Berkaitan:

Pada mulanya mayat kanak-kanak itu dianggap warga asing kerana tidak mempunyai parut suntikan Bacillus Calmette–Guerin (BCG).

Akhirnya, hasil daripada ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan mayat itu merupakan Nurin Jazlin.

Jenazah kanak-kanak itu kemudian dituntut oleh keluarganya dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, Setapak, Kuala Lumpur pada 21 September selepas solat Jumaat.

Nurin Jazlin merupakan anak kedua pasangan Jazimin Abdul Jalil dan Norazian Bistaman daripada tiga adik beradik ketika itu.

Musa Hassan kongsi pengalaman

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, biarpun lebih 13 tahun kes itu berlaku namun masih segar dalam ingatannya kisah tragis kanak-kanak malang itu dibunuh.

Menurutnya, kes Nurin Jazlin merupakan kes pertama melibatkan kejadian pembunuhan kejam ketika beliau menjawat jawatan Ketua Polis Negara.

Musa berkata, pihak polis telah berusaha sedaya upaya mengesan pembunuh yang terlibat melalui hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejiranan setempat di lokasi tempat tinggal kanak-kanak itu namun tidak mendapat gambaran yang jelas kerana rakaman itu kabur.

Katanya, CCTV berkenaan bukan dipasang pihaknya di kawasan perumahan itu tetapi milik individu.

“Sebenarnya kita sukar kesan nombor pendaftaran motosikal digunakan si pelaku dan tidak dapat cam wajahnya kerana rakaman tidak jelas.

“Walaupun ia menyukarkan kita menjalankan siasatan ketika itu namun kita ambil pendekatan hantar sampel rakaman CCTV ke Amerika Syarikat untuk dianalisis,” katanya ketika ditemui di pejabatnya yang kini bertugas sebagai Pengerusi Syarikat Sekuriti Viper Force Sdn Bhd di Kelana Jaya.

Musa Hassan
Musa Hassan

Pelaku pedofilia

Musa berkata, walaupun pihaknya berjaya menahan antara tiga hingga empat orang yang disyaki terlibat namun pengesanan suspek utama sukar dibuat ekoran gambar pelaku tidak dirakam dengan jelas dan sehingga kini masih bebas.

“Kita jalankan siasatan secara menyuluruh dengan menemubual keluarga dan siasat latar belakang keluarga Nurin Jazlin serta orang di sekeliling kanak-kanak itu.

“Apa yang kita peroleh daripada hasil siasatan dijalankan terhadap kes ini, motif kematian mangsa adalah disebabkan pelaku merupakan seorang pedofilia (suka kepada kanak-kanak) dan memenuhi hajatnya melampiaskan nafsu terhadap kanak-kanak itu,” kata beliau.

Katanya, oleh kerana si pelaku tidak mahu perkara terbabit diketahui maka dia dipercayai mengambil keputusan menyumbat mayat kanak-kanak itu di dalam beg dan membuang mayat itu di kawasan lain.

“Kita juga turut jalankan pemeriksaan di kawasan tempat tinggal Nurin Jazlin dan sewaktu pemeriksaan dibuat, pihak polis tidak mengesan bahawa ada golongan pedofilia di kawasan itu dan syak ia dilakukan bukan penghuni di kawasan itu namun oleh orang luar,” katanya.

Sedih dan marah

Menceritakan detik penemuan mayat kanak-kanak malang itu, Musa berkata, dia begitu sedih dengan keadaan mayat kanak-kanak itu yang bukan sahaja dibunuh, diseksa dengan perbuatan seksual malah mayatnya turut disumbat dalam beg.

“Saya jadi geram dan marah. Apalah dosa kanak-kanak itu diperlakukan sedemikian. Kanak-kanak itu tidak berdosa, malah dia tidak mengerti apa-apa.

“Maka selepas kejadian itu, saya turut ambil inisiatif wujudkan talian NUR supaya jika ada kes seumpama ini maka ia dapat dikesan segera dan pelaku dapat dibawa ke muka pengadilan dan dihukum sewajarnya,” kata beliau lagi.

Menurutnya, bagi kes berkenaan juga beliau turut menubuhkan satu jawatankuasa khas dengan pihak swasta.

“Peristiwa Nurin Jazlin dibunuh kejam adalah kes pertama melibatkan kematian kanak-kanak secara tragis dan seterusnya kes melibatkan Sharlinie Mohd Nashar berusia 5 tahun, yang hilang semasa bermain di taman permainan berhampiran rumahnya.

"Bagaimanapun, Sharlinie masih tidak ditemui sehingga kini menjadi kes kedua di bawah kendalian saya ketika bertugas sebagai Ketua Polis Negara,” katanya.

Katanya, si pelaku sememangnya mempunyai pemikiran songsang malah suka kepada perkara di luar pemikiran manusia biasa.

Gambar kenangan Allahyarham Nurin Jazlin (kiri) bersama adik beradik yang lain.
Gambar kenangan Allahyarham Nurin Jazlin (kiri) bersama adik beradik yang lain.

Jaga tepi kain orang itu perlu

Musa mengingatkan, masyarakat perlu mempunyai sikap ‘menjaga jaga tepi kain orang’ dalam usaha menangani kejadian jenayah seumpamanya.

Beliau berkata, walaupun kes melibatkan kematian kanak-kanak atau kanak-kanak dirogol dan diperlakukan secara melampau oleh golongan pedofilia tidak banyak, namun ibu bapa dan masyarakat perlu memainkan peranan penting menyalurkan maklumat jika ternampak kegiatan mencurigakan atau orang tidak dikenali di kawasan setempat.

“Kita bukan mahu salahkan sesiapa di sini, namun pihak yang mengambil kesempatan juga sudah menunggu peluang mereka untuk melakukan perkara itu.

“Ibu bapa seharusnya mengajar anak-anak mereka supaya tidak mudah mengikuti orang yang tidak dikenali. Kejadian itu mungkin berpunca daripada kurangnya pengawasan,” katanya.

Kes mencabar

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, ketika kes itu berlaku beliau baru sahaja mengambil alih tugas sebagai Ketua Polis Daerah Petaling Jaya pada tahun 2007.

“Bagi saya kes itu cukup mencabar kerana ketika itu saya baru menjadi ketua di tempat baru dan apatah lagi kes berkenaan turut mendapat tumpuan orang ramai dan media.

“Siang dan malam saya sentiasa mengambil tahu perkembangan kes dan siasatan biarpun mayat arwah sudah ditemui,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Arjunaidi Mohamed
Arjunaidi Mohamed

Menurut Arjunaidi, kes berkenaan sehingga kini tidak pernah ditutup selagi tiada sebarang tangkapan dibuat ke atas suspek utama.

“Kita masih berusaha kerana pelakunya belum dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.

Menurutnya lagi, sebarang kes jenayah terutamanya kes seumpama ini tidak akan ditutup sehinggalah ia selesai sepenuhnya.

Keluarga cari keadilan

Jika ditakdirkan pembunuhan kejam Nurin Jazlin, 8, tidak dapat dirungkai sehingga lebih dua dekad, ia tidak akan mengubah pendirian bapa kanak-kanak itu, Jazimin Abdul Jalil, 46, untuk mencari keadilan buat kanak-kanak malang itu.

Selepas 13 tahun berlalu, Jazimin merasakan kes itu kian dilupakan, namun dia mendapat harapan baharu apabila seorang pemimpin negara sedia untuk berkongsi maklumat terkini dan berhubung dengan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, sekali lagi bapa kepada lima anak (termasuk arwah) itu dihimpit dengan perasaan kecewa kerana sehingga kini perkhabaran mengenai perkara itu masih belum diumumkan.

“Sehari demi sehari, saya tunggu dengan harapan ada maklumat terkini atau setidaknya perkembangan mengenai siasatan arwah Nurin Jazlin.

“Melihat kepada situasi politik kini, ditambah dengan isu koronavirus (Covid-19), saya buntu untuk mendapatkan informasi mengenai perjalanan siasatan anak saya,” katanya.

Jazimin percaya, kejadian yang menimpa anaknya tidak akan dilupakan serta kekal dalam ingatan seluruh penduduk Malaysia.

Katanya, bukan keluarga sahaja merasa kehilangan tetapi pemergian Nurin Jazlin dengan cara yang cukup tragis memberi kesan kepada semua pihak.

Dia terharu dengan sokongan keluarga dan saudara kerana masih ramai yang bertanya mengenai perkembangan terkini siasatan arwah Nurin Jazlin.

Jazimin yang bekerja sebagai pengawal peribadi berkata, dia memahami tugas pihak berkuasa yang sentiasa berusaha untuk mencari dalang di sebalik kejadian itu.

Bukan bermaksud mahu menekan pihak berkuasa sebaliknya Jazimin berkata, dia tidak mampu untuk membendung perasaan untuk mengetahui lanjutan kes berkenaan.

“Berbekalkan kemajuan teknologi yang lebih canggih ketika ini, saya harap apa sahaja bukti diperoleh ketika tahun 2007 lalu dapat diuji semula.

“Saya juga teruja dengan kemajuan mesin pengesanan cap jari, ujian DNA dan CCTV yang semakin canggih, mungkin boleh diaplikasikan dalam kes ini termasuk pada bukti yang ada pada beg yang digunakan untuk meletakkan mayat anak saya,” katanya.

Harapan Jazimin turut dipanjangkan kepada kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya jenayah keganasan terhadap arwah Nurin Jazlin dapat dirungkai seterusnya mengheret pelaku ke muka pengadilan.