Pemilik spa didenda RM200,000 tawar rawatan veneer gigi tanpa kelayakan

PETALING JAYA – Pemilik sebuah spa kecantikan didenda RM200,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat selepas didapati menjalankan rawatan veneer gigi tanpa kelayakan serta mengendalikan klinik pergigian swasta tidak berdaftar, dua tahun lalu.
Hakim, Noor Ruzilawati Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Tashriq Abdul Aziz, 26, selaku orang kena saman (OKS), selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Semasa prosiding, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM100,000 bagi setiap pertuduhan atau penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menjalankan amalan pergigian tanpa berdaftar, di sebuah premis di Jalan PJU 8/1, Damansara Perdana, di sini jam 12.05 tengah hari pada 3 April 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 62(1) Akta Pergigian 2018 dan boleh dihukum bawah Seksyen 62(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan maksimum enam tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kedua pula, dia dituduh mengendalikan klinik pergigian swasta yang tidak berdaftar bawah Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998, di lokasi dan tarikh sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 dan boleh dihukum bawah subperenggan 5(1)(a) akta sama, dengan peruntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pihak berkuasa menyerbu premis berkenaan di lokasi kejadian, selepas menerima maklumat mengenai aktiviti rawatan pergigian oleh individu tidak berdaftar.
Serbuan oleh pasukan penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Selangor bersama polis mendapati Muhammad Tashriq melakukan rawatan veneer terhadap seorang pelanggan di sebuah bilik.
Bagaimanapun, dia gagal mengemukakan bukti pendaftaran serta Perakuan Amalan Pergigian tahunan yang sah apabila diminta berbuat demikian.
Siasatan lanjut mengesahkan lelaki itu bukan pengamal pergigian berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MPM), manakala premis berkenaan juga tidak didaftarkan sebagai klinik pergigian swasta dengan KKM.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa KKM, Dr Ahmad Fadhil Mohamad Shahidi, Dr Faryna Md Yaakob dan Dr Khadijah Wahab, sementara OKS diwakili peguam, Mohammad Badrulameen Saruan.
Seramai sembilan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan, manakala dua saksi keterangan di peringkat pembelaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

