KDEBWM siap sedia 24 jam hadapi bencana

HULU SELANGOR - KDEB Waste Management (KDEBWM) memberi jaminan pasukannya sentiasa bersiap siaga 24 jam untuk digerakkan sekiranya berlaku bencana termasuk banjir besar di Selangor.
Pengarah Urusannya, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, pihaknya sentiasa berhubung rapat dengan semua pihak berkuasa tempatan (PBT), pegawai daerah dan agensi berkaitan bagi memastikan operasi dapat dijalankan dengan lancar.
"Kita sentiasa memantau ramalan cuaca bersama Jabatan Meteorologi dan jika ada amaran awal, pasukan kita akan bersedia digerakkan mengikut arahan kerajaan negeri," katanya ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran Lori RORO di Dataran Warisan, Kuala Kubu Bharu di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Julaihah Jamaludin dan Orang Besar Daerah Hulu Selangor, Raja Datuk Muzaffar Raja Redzwa.
Ramli memberitahu, KDEBWM yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri mempunyai aset mencukupi, tenaga kerja, lori dan jentera serta kakitangan untuk dibawa ke lokasi bencana mengikut keperluan.
Menurut beliau, pengalaman menguruskan situasi kritikal seperti banjir besar pada 2021 dan ketika penularan Covid-19 sebelum ini menjadikan pasukannya lebih cekap dan berpengalaman.
"Pada banjir 2021, kita terpaksa sewa lori 40 tan, lori RORO, jengkaut dan pelbagai jentera lain untuk membersihkan kawasan terjejas. Dalam operasi ini sahaja, hampir 48,000 tan sisa berjaya dikutip dengan kos sekitar RM12 juta.
“Sebahagian besar kos ditanggung syarikat dan hanya selebihnya dituntut daripada kerajaan negeri, malah kita tak pernah kira untung rugi kerana ini sebahagian tanggungjawab sosial kita kepada rakyat Selangor," jelas beliau.
Beliau turut menegaskan KDEBWM tidak pernah mengenakan caj tambahan kepada PBT atau orang ramai untuk kerja-kerja bencana kecuali apabila melibatkan kos sewaan jentera berat yang tinggi.
"Kita ini operator kutipan sisa pepejal terbesar di negara ini, tapi kos kita masih yang paling rendah.
"Apa sahaja arahan kerajaan negeri, kita akan ikut kerana keutamaan kita adalah pastikan kebersihan dan keselamatan rakyat," tambah beliau.
Ringkasan AI
- KDEBWM bersiap siaga 24 jam untuk bencana termasuk banjir besar
- Pasukan KDEBWM berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi untuk operasi lancar
- KDEBWM memantau ramalan cuaca dan bersedia mengikut arahan kerajaan negeri
- Pasukan ini mempunyai aset, tenaga kerja, dan jentera mencukupi untuk bantuan bencana
- Pengalaman banjir 2021 menjadikan pasukan KDEBWM lebih cekap dan tidak mengenakan caj tambahan untuk kerja-kerja bencana
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

