KDEBWM labur RM9 juta perkenal lori baharu kutip sampah di Hulu Selangor

HULU SELANGOR – KDEB Waste Management (KDEBWM) melabur kira-kira RM9 juta bagi memperkenalkan 45 lori baharu jenis (Roll-on/Roll-off) yang akan digunakan bagi perkhidmatan pembersihan awam di Hulu Selangor.
Pengarah Urusannya, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, pelaburan itu dibuat selepas tujuh tahun KDEBWM beroperasi dengan sokongan penuh kerajaan negeri yang memiliki syarikat berkenaan.
Menurut beliau, perubahan baharu itu dibuat dengan menukar lori kepada 45 unit casis dari Jepun.
"Setiap lori mampu mengangkut sehingga 7.5 tan sampah dalam satu trip dan jika dikira, 45 lori ini mampu mengutip sehingga 180 tan sampah sehari untuk satu trip.
"Kalau dua trip, ia boleh cecah hampir 360 tan sehari atau kira-kira 7,000 tan sebulan,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran Lori Roro di Dataran Warisan, Kuala Kubu Bharu di sini pada Jumaat.
Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Julaihah Jamaludin dan Orang Besar Daerah Hulu Selangor, Raja Datuk Muzaffar Raja Redzwa.
Menurut Ramli, penggunaan lori Euro 4 dan Euro 5 itu juga lebih mesra alam berbanding model lama Euro 3 kerana mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) sekali gus membantu mengekalkan kualiti udara di kawasan sensitif seperti Hulu Selangor.
"Selain lebih jimat minyak dan penyelenggaraan rendah, lori baharu ini juga memastikan operasi kutipan sampah lebih efisien serta tidak menjadi punca pencemaran,” katanya.
Katanya, KDEBWM kini memiliki lebih 1,550 lori termasuk kompakor bagi menampung keperluan seluruh negeri Selangor yang mempunyai kira-kira 240,000 unit kediaman pelbagai jenis.
Dalam pada itu, Ramli berkata KDEBWM bersama pihak berkuasa tempatan akan melaksanakan program pengasingan sampah dengan lebih serius bagi meningkatkan kadar kitar semula di negeri itu.
"Memang tahap penerimaan masyarakat masih rendah, tetapi kita akan bekerjasama dengan majlis perbandaran untuk menetapkan hari khusus kutipan barangan kitar semula.
"Contohnya, jika Isnin ditetapkan sebagai hari kutipan, orang ramai boleh keluarkan barangan kitar semula seperti kertas, plastik dan aluminium untuk dikutip lori khas.
"Kita sasarkan kadar kitar semula meningkat kepada 15 peratus tahun ini dan 20 peratus tahun depan," ujar beliau.
Ringkasan AI
- HULU SELANGOR - KDEB Waste Management (KDEBWM) melabur kira-kira RM9 juta untuk 45 lori baharu jenis Roll-on/Roll-off untuk perkhidmatan pembersihan awam
- Pelaburan dibuat setelah tujuh tahun KDEBWM beroperasi dengan sokongan kerajaan negeri
- Lori baharu mampu mengangkut sehingga 7.5 tan sampah dalam satu trip, potensi mengutip sehingga 360 tan sampah sehari
- Lori-lori ini lebih mesra alam dengan penggunaan teknologi Euro 4 dan Euro 5 yang mengurangkan pelepasan CO2
- KDEBWM mempunyai lebih 1,550 lori untuk menyokong perkhidmatan di Selangor dan akan meningkatkan usaha pengasingan sampah untuk kitar semula
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

