Netanyahu makin melampau, meterai perjanjian mahu rampas Palestin

TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Khamis menandatangani perjanjian bersama anggota nasionalis di bawah kerajaan gabungan pimpinannya untuk meneruskan projek kontroversi peluasan penempatan haram Yahudi yang akan merampas wilayah Palestin.
Pemimpin 'ekstremis' itu dengan angkuh menyatakan wilayah Tebing Barat diduduki selama beberapa dekad itu sebagai kepunyaan mereka, sekali gus mempamerkan sikap tamak haloba.
"Tidak akan pernah ada negara Palestin. Kami akan pelihara warisan, tanah dan keselamatan kami," katanya yang jelas satu bentuk provokasi melampau.
Dokumen itu dimeterai setelah projek E1 yang akan membahagikan Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur mendapat kelulusan akhir daripada suruhanjaya perancangan di bawah Kementerian Pertahanan pada bulan lalu.
Langkah itu dibuat dua hari selepas Israel cuba membunuh pemimpin Hamas di Qatar hingga mengundang kecaman antarabangsa.
Ketika ini, rejim Zionis turut memperhebatkan serangan ke atas Bandar Gaza untuk mengilhak wilayah tersebut di bawah rancangan jahat yang bakal menyaksikan pengusiran jutaan penduduk Palestin. - Agensi
Info:
>E1 terletak bersebelahan dengan penempatan haram Yahudi Maale Adumim. Projek itu dibekukan pada 2012 dan 2020 setelah mendapat bantahan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah. Ia akan melibatkan pembinaan kira-kira 3,400 unit rumah.
>Total pelaburan projek yang akan merampas tanah milik Palestin termasuk pembinaan jalan raya dan menaik taraf infrastruktur dianggarkan berjumlah AS$1 bilion (RM4.21 bilion).
>Kumpulan aktivis dan negara Barat menentang projek penempatan haram tersebut kerana ia dikhuatiri akan menjejaskan perjanjian damai bersama Palestin pada masa depan.
>Komuniti antarabangsa melihat projek penempatan haram Yahudi di Tebing Barat sebagai melanggar undang-undang antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

