Projek MTNP Lipis catat 100,000 jam kerja selamat, siap 10 bulan awal

LIPIS – [DIKEMAS KINI] Projek pembinaan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) di Lipis mencatatkan pencapaian luar biasa apabila berjaya merekodkan 100,000 jam kerja selamat tanpa sebarang kecederaan yang menyebabkan kehilangan waktu bekerja (Lost Time Injury – LTI).
Lebih membanggakan, projek berkenaan turut dijangka siap 10 bulan lebih awal, iaitu pada November tahun ini berbanding tarikh jangkaan asal pada Ogos 2026.
Pengerusi Lembaga Pengarah IASC Holdings Sdn Bhd, Datuk Dr Ahmad Munawar Abdul Jalil berkata, pencapaian tersebut adalah bukti nyata bahawa budaya keselamatan dan disiplin kerja yang diterapkan di bawah Kumpulan Yayasan Pahang (YP) membuahkan hasil.
Menurutnya, kejayaan itu mencerminkan komitmen Yayasan Pahang bukan sahaja dalam melaksanakan projek pembangunan fizikal, malah turut memastikan kebajikan dan keselamatan tenaga kerja sentiasa menjadi keutamaan.
"Kehadiran MTNP di Lipis akan membawa banyak manfaat kepada masyarakat setempat. Ia membuka peluang pendidikan lebih dekat kepada anak-anak Lipis dan mengurangkan kebergantungan ke Kuantan.
"Pada masa yang sama, ia mewujudkan limpahan ekonomi baharu melalui peluang pekerjaan, peningkatan perkhidmatan, serta pengukuhan institusi kekeluargaan dan masyarakat," katanya ketika berucap sempena majlis meraikan pencapaian tersebut di tapak projek MTNP Lipis di Kampung Bapong di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustafa Long yang menyempurnakan majlis perasmian itu serta Ketua Pegawai Eksekutif MTNP, Datuk Mohd Lafzul Muda.
Ahmad Munawar menambah, projek itu secara tidak langsung akan menjadikan Lipis sebagai pusat pendidikan Islam penting di Pahang Barat.
Beliau menjelaskan, dalam menjayakan projek ini, IASC Holdings yang merupakan anak syarikat milik penuh YP Advanced Skills Sdn Bhd memainkan peranan besar sejak ditransformasikan kepada syarikat pembinaan pada tahun 2022.
Sementara itu, Mustafa menyifatkan kejayaan luar biasa projek tersebut sebagai bukti prestasi cemerlang Yayasan Pahang.
Tambahnya, projek berkenaan selari dengan aspirasi kerajaan negeri yang mahu menjadikan Lipis sebuah bandar berdaya saing dengan identiti sejarah, budaya dan pendidikan moden.
"Kita juga sedang berusaha memasukkan daerah ini dalam senarai United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) sebagai tapak warisan dunia.
“Kalau dahulu Lipis dianggap bandar mati, kini dengan pelbagai projek termasuk MTNP, taman negeri dan pembangunan tanah baharu seluas hampir 280 hektar, kita yakin Lipis akan menjadi nadi pertumbuhan baharu untuk Pahang Barat,” katanya.
Projek MTNP Lipis yang dimulakan pada Julai tahun lalu melibatkan pembangunan di atas kawasan seluas 1.6 hektar dengan kapasiti 80 pelajar, membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM14.7 juta.
Ringkasan AI
- Projek pembinaan Maahad Tahfiz Negeri Pahang di Lipis mencatat 100,000 jam kerja selamat tanpa kecederaan
- Dianggar siap 10 bulan lebih awal pada November tahun ini
- Pencapaian menunjukkan keselamatan dan disiplin kerja diterapkan efektif
- MTNP akan membawa manfaat pendidikan dan ekonomi kepada masyarakat Lipis
- Projek melibatkan pembangunan atas kawasan 1.6 hektar dengan kapasiti 80 pelajar dan kos RM14.7 juta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

