Pas jangan gelojoh: PM bukan untuk siapa cepat angkat tangan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PAS sudah lama bertembung, berkecimpung dan berliku dalam kancah politik tanah air sehinggalah mereka pernah “memeluk DAP”, “mengkafirkan UMNO”, cuba menggantikan perlembagaan persekutuan dan melaksanakan Hudud.

Perjalanan mereka yang berliku-liku dan berpusing-pusing seharusnya membolehkan mereka menerima percaturan politik secara realistik dan bukannya gelojoh, rakus kuasa dan ego.

Dalam permainan catur, strateji “end-game” adalah sangat penting dan langkah-langkah perlulah penuh berhemah.

Apabila Pas menuntut jawatan Perdana Menteri pada PRU16, ia ibarat pemain simpanan yang baru menjaringkan satu gol, terus mahu mengangkat diri sebagai kapten pasukan.

DAP sudah membolot 95 peratus undi Cina dan mempunyai kerusi MP terbanyak tetapi mereka masih menumpu pada “buy-in” undi Melayu dulu dan tidak menuntut kerusi PM maupun TPM.

Ya, sokongan Melayu-Islam di belakang Pas memang besar tetapi ia adalah atas semangat Perikatan Nasional. Ya, mereka berjaya menawan hati pengundi kampung dengan retorik agama.

Tapi persoalan besarnya: sudahkah Pas mempunyai calon dan dasar yang cukup matang,inklusif dan boleh diterima semua untuk memimpin seluruh Malaysia?

Tuntutan Pas adalah pramatang atau “pre-mature” dan terlalu awal kerana mereka baharu sahaja melebarkan sayap mereka dari pantai timur dan utara dan mula bertapak di negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Semestinya mereka tidak diterima di Sabah dan Sarawak.

Artikel Berkaitan:

DAP pandai. Mereka juga bermimpi untuk merampas kuasa dan tempat Perdana Menteri satu hari nanti. Tetapi mereka sabar dan tidak gelojoh seperti Pas.

Semestinya Pas akan masuk jerat dan terperangkap dengan strateji memomokan Pas.

DAP mengamalkan amalan “fear tactic” yang telahpun diguna-pakai oleh DAP dan berjaya menjauhkan undi bukan Melayu dari Pas dan sekutu mereka.

DAP cuma perlu menukarkan laungan mereka dari “Asalkan Bukan Umno” kepada “ Asalkan Bukan Pas”.

DAP akan UBAH naratif dan menukar sentimen “islamphobic” yang mereka pupuk semasa dalam proses membolot undi bukan Melayu kepada “PASphobia” yang akan menjadi PM.

Dalam senyap, DAP sudahpun melebarkan sayap mereka pada ramai pengundi Melayu termasuk golongan ulamak yang dulu dibolot Pas.

Kalau Pas mau mengaku kononnya mereka sudah mendapat sokongan Cina, India, Sabah dan Sarawak melalui sayap bukan Islam mereka, saya rasa mereka tidak realistik dan terlalu angkuh.

Semestinya mereka sudah kalah pada DAP, kalau kita gunakan yardstick kejayaan DAP dalam usaha “buy in” undi Melayu dan Islam dan kejayaan Pas dengan pengundi bukan Melayu.

Di sini, saya tuliskan sebab mengapa Pas patut bersabar dan memberi masa Perikatan Nasional untuk menyusun langkah yang lebih rapi dan matang:

1. Kuasa Belum Menyeluruh

Walaupun Pas menguasai sebahagian besar kawasan majoriti Melayu, ia masih belum membuktikan keupayaan untuk menembusi kawasan campuran atau bandar besar.

Perdana Menteri mesti dilihat sebagai pemimpin seluruh rakyat Malaysia, bukan hanya satu kaum atau kelompok agama.

Jika Pas terlalu cepat menuntut kerusi itu, ia hanya menguatkan hujah lawan bahawa parti ini tidak inklusif.

2. Imej Radikal Masih Melekat

Seperti DAP yang masih bergelut dengan stigma radikalisme dan chauvinisme, Pas juga membawa beban persepsi lama — retorik hudud, naratif “Islam eksklusif”, dan kecenderungan memandang rendah pihak lawan.

Imej ini menjadikan sukar untuk Pas diterima sebagai parti yang boleh memimpin negara berbilang kaum.

Jika Pas menuntut kerusi PM, ia akan dilihat sebagai “memaksa rakyat menerima” sebelum Pas berjaya mengubah persepsi dirinya.

3. Risiko Memecah Gabungan

PAS kini bergantung pada kerjasama politik dengan parti lain dalam PN. Jika ia terlalu awal menuntut jawatan PM, ia boleh mengundang kecurigaan dan ketegangan dengan rakan sekutu seperti Bersatu. Keangkuhan menuntut posisi utama sebelum tiba waktunya hanya akan melemahkan blok pembangkang sendiri.

4. Politik Malaysia Masih Tentang Kompromi

Sejarah Malaysia membuktikan bahawa Perdana Menteri lahir daripada kompromi, bukan tuntutan keras. Tun Abdullah, Najib, Mahathir (kembali 2018), malah Anwar Ibrahim — semuanya muncul hasil gabungan persepsi penerimaan, jaringan sokongan, dan titik temu parti-parti. Jika Pas mahu sampai ke tahap itu, ia mesti belajar bermain politik “merangkul, bukan menolak.”

5. Menjadi “Kingmaker” Lebih Strategik

Pada ketika ini, kedudukan Pas sebagai penentu atau “kingmaker” lebih berharga daripada mengejar jawatan PM.

Ia memberi ruang kepada Pas untuk menekan dasar-dasar mesra Islamisasi yang ia perjuangkan tanpa perlu menanggung risiko besar sebagai peneraju kerajaan. Kadangkala, kuasa sebenar terletak pada pengaruh di belakang tabir, bukan kerusi paling hadapan.

Seperti kata orang lama: “Jangan bagi pisau pada budak kecil, nanti terhiris tangan sendiri.” Begitulah Pas dengan kerusi PM. Kalau belum cukup bersedia, kuasa itu boleh jadi senjata makan tuan.

Kesimpulan

Pas sedang berada di landasan pertumbuhan, tetapi menuntut jawatan Perdana Menteri pada masa ini akan dilihat sebagai tamak, tidak realistik, dan tergesa-gesa.

Lebih baik bagi Pas memperkukuh imej sebagai parti Islam yang inklusif, memperluas sokongan di kalangan bukan Melayu, serta membina keyakinan rakan gabungan. Barulah satu hari nanti, bila stigma berjaya dilunturkan, Pas boleh tampil bukan hanya sebagai parti Melayu-Islam terbesar, tetapi juga sebagai parti yang diyakini mampu mengetuai Malaysia secara menyeluruh.

Apabila Pas mula bergaduh soal siapa layak jadi Perdana Menteri menjelang PRU16, ia kelihatan seperti “berkelahi di tepi gelanggang, bertanding pun belum.”

Lebih sinis lagi, situasinya persis “lembu di padang belum dapat, tali sudah dihela.” Lebih kontemporari lagi “wifi belum connect, dah nak download file besar”.

Singkat kata, kerusi PM itu masih jauh dalam bayangan, tetapi Pas sudah sibuk bertekak sesama sendiri seolah-olah kunci pejabat Perdana Menteri sudah pun berada di poket jubah mereka.

*Datuk Seri Ti Lian Ker 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!