Bayi alami masalah jantung perlukan RM110,000 untuk pembedahan segera

BUKIT MERTAJAM – Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan, Abdullah Mubarak Habib Muhmud memerlukan sumbangan orang ramai sebanyak RM110,000 bagi menjalani pembedahan jantung segera untuk menyelamatkan nyawanya.
Abdullah Mubarak disahkan menghidap kecacatan jantung kongenital kompleks yang dikesan sejak dalam kandungan ibunya.
Bapanya, Habib Mahmud Mohd Salim, 29, berkata, beliau dan isterinya, Sles Roza, 25, telah dimaklumkan lebih awal oleh doktor mengenai masalah kesihatan bayi mereka sewaktu kandungan berusia enam bulan.
“Kami diberitahu janin mengalami pertumbuhan terbantut selain kecacatan jantung. Abdullah kemudiannya dilahirkan secara pembedahan ketika usia kandungan 36 minggu dengan berat 2.73 kilogram.
“Sebaik dilahirkan, bayi kami mengalami sianosis iaitu keadaan badan kebiruan sebelum dihantar ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) untuk mendapatkan oksigen tambahan. Pemeriksaan lanjut kemudiannya mengesahkan dia menghidap kecacatan jantung kongenital yang kompleks," katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Menurut Habib Mahmud, ketika ini anaknya hanya bergantung kepada bantuan oksigen untuk terus hidup dan perlu menjalani pembedahan dalam tempoh tiga minggu ini untuk menyelamatkan nyawanya.
Beliau yang bekerja sebagai guru agama swasta hanya mampu menyediakan RM3,000 dan merayu sumbangan orang ramai bagi menampung kekurangan kos pembedahan.
"Kami memerlukan RM110,000 lagi untuk melakukan pembedahan tersebut dengan segera.
"Isteri saya tidak bekerja dan saya turut mempunyai tanggungan seorang lagi anak lelaki berusia dua tahun," katanya.
Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau memaklumkan pihaknya akan membantu mengumpulkan dana bagi membolehkan pembedahan dilakukan pada 23 September ini.
“Selepas melawat rumah keluarga berkenaan dan membuat semakan kes, kami bersetuju membantu mengumpul baki kos pembedahan dan turut menyalurkan RM10,000 daripada Tabung Kecemasan Perubatan One Hope Charity,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Public Bank Berhad: 3193433435 atas nama One Hope Charity & Welfare.
Ringkasan AI
- Bayi lelaki, Abdullah Mubarak Habib Muhmud, memerlukan sumbangan RM110,000 untuk pembedahan jantung
- Dia menghidap kecacatan jantung kongenital kompleks
- Bapanya, Habib Mahmud Mohd Salim, hanya mampu menyediakan RM3,000
- Pembedahan perlu dilakukan dalam tempoh tiga minggu
- One Hope Charity & Welfare membantu mengumpulkan dana dan menyumbangkan RM10,000
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

