Kemerdekaan: Antara yang abstrak dan yang nyata

Kemerdekaan bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, mengadakan perarakan, atau melaungkan kata-kata patriotik di pentas rasmi malah ianya lebih daripada itu. Gambar hiasan
Kemerdekaan bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, mengadakan perarakan, atau melaungkan kata-kata patriotik di pentas rasmi malah ianya lebih daripada itu. Gambar hiasan
A
A
A

KEMERDEKAAN, menurut si bisu, terasa ada, terkata tidak.

Jelas bahawa kemerdekaan adalah sesuatu yang keramat, tersemat di jiwa dan tertanam di ingatan.

Kemerdekaan juga telah dinyanyikan, dikibarkan, dilaungkan, dipuisikan, dicerpenkan dan dinovelkan dengan wira-wiranya sepanjang zaman.

Kita telah menyambut Hari Kebangsaan ke-68 baru-baru ini.

Sambutan Hari Kebangsaan kali ini membawa tema ‘Malaysia Madani: Rakyat Disantuni,’ sebuah cogankata yang mengajak kita melihat kemerdekaan dengan lensa yang lebih luas, aspek abstraknya dan aspeknya yang nyata.

Kemerdekaan bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, mengadakan perarakan, atau melaungkan kata-kata patriotik di pentas rasmi malah ianya lebih daripada itu. Menyambut kemerdekaan mengundang kita untuk merenung dan menilai sejauh mana kemerdekaan ini benar-benar meresap ke dalam jiwa kita sebagai rakyat Malaysia.

Semasa didakap bulan kemerdekaan kita perlu tanyakan pada diri: adakah kita hanya merdeka secara fizikal? Atau, jiwa dan minda kita juga telah bebas daripada belenggu yang mengikat? Kerana kemerdekaan sejati bukan hanya diukur melalui tarikh bersejarah atau bendera yang berkibar megah, tetapi pada keupayaan kita mengisi kemerdekaan itu dengan nilai, tindakan, dan keputusan yang berpaksikan kepentingan bersama.

Dalam erti kata lain, kemerdekaan bukan sekadar berpijak di daratan, tetapi juga meliputi lautan yang terbentang luas. Jangan dilupakan keselamatan di perairan negara kerana tanpa kawalan maritim yang kukuh, kedaulatan dan sumber kita boleh terancam.

Merdeka yang diidamkan

Artikel Berkaitan:

Kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal tetapi melibatkan pembebasan minda, hati, dan jiwa daripada pelbagai kekangan sosial, seperti kemiskinan, kekurangan kemudahan asas, dan ketidakadilan sosial. Inilah kemerdekaan yang kita idamkan. Kesejahteraan sosial, ekonomi dan budaya menjadi jelmaan kepada kejayaan kemerdekaan.

Dari sudut psikologi, jiwa yang merdeka ialah jiwa yang mampu menentukan hala tuju hidup sendiri tanpa rasa takut atau terikat dengan sistem yang menekan. Bayangkan analogi berikut: memberi ikan kepada seseorang setiap hari mungkin membuatnya kenyang, tetapi itu bukan kemerdekaan sebenar.

Hampir 70 tahun kita merdeka, cabaran terbesar kita bukan lagi menentang dan menjatuhkan penjajah. Kita mesti membina keupayaan rakyat jelata untuk membangunkan potensi kesejahteraan diri. Pengisian kemerdekaan dari segi mental menjadi pemboleh daya untuk terus mengisi dengan tekun kemerdekaan.

Tiga tiang penting pembangunan negara

Dalam membina sebuah negara yang kukuh, terdapat tiga elemen asas yang tidak boleh diabaikan: tanah (Land), buruh (Labour) dan modal (Capital), atau ringkasnya LLC. Bayangkan LLC ini seperti tiga kaki pada sebuah bangku, jika salah satu patah, keseimbangan akan hilang dan bangku itu tidak lagi mampu menampung beban.

Tanah melambangkan sumber fizikal negara — tanah subur, sumber alam, dan infrastruktur. Tanpa pengurusan yang mampan, tanah dan sumber ini boleh menjadi rebutan, disalahguna atau dijual tanpa memikirkan nasib generasi akan datang. Masalah ekologi semasa adalah akibat pengawalan tanah yang tidak kukuh.

Buruh pula merujuk kepada sumber manusia, kita perlukan tenaga kerja yang berkemahiran, berdaya saing, dan memiliki bakat. Jika bakat ini tidak digilap dan diberi peluang sama rata, ia akan menjadi potensi yang terbiar. Negara yang kaya dengan sumber manusia tetapi miskin dalam pengurusan peluang adalah negara yang membazirkan aset terpentingnya sendiri.

Modal pula ialah kekuatan ekonomi, seperti dana, teknologi, dan pelaburan. Modal tanpa pengurusan berhemat ibarat air deras yang pada awalnya kelihatan memberangsangkan, tetapi lama-kelamaan menghakis tebing dan meninggalkan kemusnahan jika disalurkan ke arah yang salah.

Ketiga-tiga elemen ini tidak boleh bergerak sendirian. Tanah tanpa buruh hanyalah kosong, buruh tanpa modal hanya terbatas, dan modal tanpa tanah serta buruh adalah tidak mendatangkan keuntungan dan faedah. Keseimbangan antara LLC adalah asas pembangunan negara yang benar-benar mapan.

Menyulam kesepaduan sosial

Dalam sebuah negara yang hidup atas dasar perpaduan dalam kepelbagaian, semua usaha pembangunan fizikal dan mental akan senantiasa dicabar oleh pergeseran dan perbezaan sosial.

Bagai menatang minyak yang penuh kemerdekaan didukung oleh keamanan dan harmoni. Kesepaduan sosial menjadi pelengkap kepada kemerdekaan. Pengagihan sumber secara adil dan tepat adalah kunci menyatukan rakyat pelbagai kaum, agama, dan latar belakang.

Kesepaduan sosial terbina atas dua jurus, iaitu jurus menegak dan jurus mendatar. Jurus menegak menjelmakan realiti susun lapis masyarakat dan kelas sosial yang berbeza, seperti, kelas atasan, kelas menengah dan kelas bawahan.

Jurus mendatar pula adalah entiti atau kelompok yang seiring sebelah menyebelah kedudukannya seperti kaum Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan. Masyarakat bandar dan desa wujud dalam garis mendatar.

Kelompok yang mendatar, seperti kaum Melayu dan  Cina, masing-masing ada realiti menegak atau susun lapis sosial masing-masing: Melayu/Cina kaya, Melayu/Cina sederhana dan Melayu/Cina miskin.

Hubungan bertambah kompleks apabila Melayu atasan beragama Islam berkahwin dengan Cina kelas menegah yang beragama Kristian perlu menukar agama untuk membolehkan perkahwinan itu berlaku.

Bayangkan cabaran perbezaan budaya dan kelas sosial yang perlu disesuaikan antara suami dan isteri. Yang lebih merumitkan adalah penerimaan muhibah yang perlu dilakukan oleh masing-masing para ahli keluarga suami dan isteri.

Keadaan realiti mendatar dan menegak ini akan bertambah rumit bila pasangan suami isteri ini memperoleh cahaya mata kerana mereka mesti memutuskan apa bentuk pendidikan yang sesuai untuk anak-anak, sekolah kerajaan pilihan kelas menengah dan sekolah swasta pilihan kelas atasan.

Pengisian roh Malaysia Madani

Menurut para pakar pembangunan adalah suatu proses perubahan sosial dengan penyertaan luas oleh semua anggota dalam masyarakat yang menggerakkan kemajuan sosial dan kebendaan.

Maksudnya rakyat bukan hanya penerima dasar, tetapi turut menjadi pemain utama dalam mengenal pasti masalah, merancang penyelesaian, melaksanakan, dan menilai keberkesanan tindakan.

Negara bukan kapal layar yang hanya dikemudi oleh seorang kapten di atas dek. Ia lebih menyerupai sampan besar di mana setiap pendayung menyumbang kekuatan untuk sampai ke destinasi. Jika hanya kapten mendayung, sampan itu akan bergerak perlahan, terapung-apung dan terus hanyut.

Di sinilah roh Malaysia Madani memainkan peranan. Enam terasnya iaitu keadilan, ihsan, kesejahteraan, kemampanan, pengetahuan, dan hormat mesti dihidupkan pada setiap lapisan masyarakat, bukan sekadar dibacakan di pentas rasmi atau dicetak di kain rentang.

Dari slogan ke realiti

Mengikat jiwa dan menyatu bangsa bukanlah kerja sehari dua. Ia memerlukan tindakan berterusan, keberanian politik, dan sokongan padu rakyat. Inilah yang kita semua terus menerus lakukan selama 68 tahun merdeka. Antara langkah yang telah menjadi pegangan kita semua ialah:

Keberanian membuat keputusan yang berpihak kepada rakyat walaupun tidak popular secara politik.

Ketelusan dalam mengurus dana awam, memastikan setiap dana yang dibelanjakan memberi pulangan berganda yang pula membawa kesejahteraan rakyat

Pendidikan yang membebaskan minda, membolehkan rakyat berfikir secara kritis dan tidak mudah terperangkap dalam naratif sempit yang memecahbelahkan.

Bayangkan sebuah tikar anyaman mengkuang. Setiap helai daun melambangkan seorang rakyat dengan warna, corak, dan bentuk berbeza. Anyaman hanya kukuh apabila setiap helai terikat kemas, tersusun, dan saling menguatkan antara satu sama lain. Jika ada satu helai yang longgar, keseluruhan anyaman boleh tanggal terlerai.

Merdeka tanggungjawab bersama

Bak kata pepatah berat sama dipikul ringan sama dijinjing.

Mengikat jiwa dan menyatu bangsa demi menatang kemerdekaan memerlukan usaha kolektif daripada setiap lapisan masyarakat, yang menggabung kepimpinan yang berani, rakyat yang sedar, dan sistem yang adil.

Menyantuni rakyat adalah usaha berterusan untuk mendengar denyut nadi rakyat, memahami keresahan yang tersirat, serta mencari jalan penyelesaian yang tidak hanya bersifat sementara tetapi membina masa depan yang lebih sejahtera. Sekaligus usaha untuk meningkatkan kepercayaan rakyat kepada pemerintah.

Selepas 68 tahun merdeka, persoalan yang harus kita jawab bukan lagi “Adakah kita hidup di tanah merdeka?” tetapi “Adakah kita benar-benar memiliki jiwa merdeka yang mampu menyatu bangsa?”

* Penulis ialah Dr Yasmin Yaccob, Ketua, Jabatan Sains Sosial dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia Sarawak dan Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, Pengarah, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!