Tabung Covid-19 kurangkan beban

Tabung Covid-19 yang dilancarkan sendiri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini. Gambar kecil: Jagatheswary Narayanan
Tabung Covid-19 yang dilancarkan sendiri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini. Gambar kecil: Jagatheswary Narayanan
A
A
A

GELOMBANG kedua penularan wabak koronavirus (Covid-19) global kini semakin menguasai kadar peningkatan kes baharu jangkitan itu di negara ini.

Ia ternyata turut menjejaskan kelangsungan hidup rakyat Malaysia.

Ekoran itu, kerajaan Perikatan Nasional telah melancarkan satu tabung khas iaitu Tabung Covid-19 pada 11 Mac lepas.

Pelancaran Tabung Covid-19 itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet kerajaan Perikatan Nasional di Perdana Putra, Putrajaya Rabu lalu.

Menurut lidah pengarang akhbar Malaysia Nanban, kerajaan Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Muhyiddin tampil memperkenalkan tabung itu adalah untuk memberi bantuan kewangan kepada individu yang memerlukannya.

Pelaksanaan inisiatif murni itu juga telah membuktikan keprihatinan kerajaan Perikatan Nasional terhadap penduduk setempat.

Tabung Covid-19 dan kutipan dana itu yang diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan digunakan untuk meringankan kos sara hidup seharian golongan terjejas yang terpaksa menjalani tempoh kuarantin.

Semasa berada dalam tempoh kuarantin 14 hari itu, majoriti daripada individu terjejas bukan sahaja tidak dapat meneruskan pekerjaan mereka, malahan status kewangan keluarga turut menjadi tanda tanya.

Artikel Berkaitan:

Selepas mempertimbangkan kesukaran kewangan dialami golongan terjejas itu, dana sejumlah RM1 juta telah disalurkan ke dalam Tabung Covid-19, manakala wang ihsan sebanyak RM100 sehari disumbangkan kepada individu yang tidak memiliki pendapatan tetap atau tiada gaji sepanjang menjalani tempoh kuarantin.

Malaysia Nanban menyifatkan langkah prihatin kerajaan Perikatan Nasional itu bijak dan meminta seluruh rakyat negara ini terutamanya syarikat swasta memberi sokongan padu untuk menjayakan inisiatif tersebut.

Akhbar berkenaan juga menaruh harapan bahawa kerajaan Perikatan Nasional akan bertindak lebih efisien dalam membanteras wabak global itu.

Sementara itu, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) juga dinasihatkan agak lebih berwaspada dalam mengendalikan isu Covid-19.

Ini disebabkan golongan terjejas yang disahkan sudah pulih dan dihantar pulang ke rumah kembali dijangkiti wabak tersebut serta menjadi punca ia merebak kepada orang awam lain.

Justeru, pihak kerajaan Perikatan Nasional, KKM, hospital dan rakyat jelata wajib berganding bahu dan patuh kepada segala arahan serta nasihat berkaitan wabak Covid-19 demi menjamin keselamatan nyawa dan keamanan negara tercinta, Malaysia.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor