X

Kindly register in order to view this article
!

Tentera bantu penguatkuasaan arahan

A
A

MULAI tengah malam Ahad ini, khidmat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikerah untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan bagi memastikan rakyat berada di rumah masing-masing dalam usaha membendung koronavirus (Covid-19).

Perkara tersebut diputuskan oleh Menteri Pertahanan yang juga Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada satu sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.

Usaha kawalan itu dibuat di bawah Seksyen 5 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Langkah itu dilaksanakan bagi mengurangkan beban PDRM dalam penugasan sepanjang perintah berkenaan selain mahu melihat keberkesanannya terhadap orang awam yang enggan mematuhi perintah tersebut.

Ketika ini, PDRM telah melakukan 504 sekatan jalan raya di seluruh negara melibatkan penugasan kira-kira 8,600 anggotanya.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara sehingga 31 Mac ini bagi mengekang penularan Covid-19.

Sehingga kini, sebanyak 130 kes positif baharu dilaporkan menjadikan keseluruhan 1,030 kes dengan tiga kematian.

Peningkatan angka itu wajar menakutkan kita. Justeru, tujuan sebenar perintah tersebut dikeluarkan adalah untuk memastikan rakyat kekal di rumah sekali gus memutuskan rangkaian jangkitan virus itu yang semakin membimbangkan.

Malangnya, selepas tiga hari pelaksanaannya hanya kira-kira 60 peratus rakyat yang mengikuti arahan tersebut menyebabkan tindakan lebih tegas perlu diambil.

Atur gerak tentera itu yang akan melibatkan ketiga-tiga cabang ATM nanti bagaimanapun bukanlah perintah darurat sebaliknya bagi meningkatkan pematuhan rakyat terhadap kawalan tersebut.

Pastinya penugasan ATM tidak melibatkan penggunaan kenderaan berperisai atau kereta kebal di tempat awam seperti dibayangkan sekelompok rakyat.

Ia kerana ATM sendiri mempunyai tatacara pelaksanaan sesuatu penugasan bagi membezakan antara operasi tempur dan operasi ketenteraan selain daripada perang (MOOTW).

Tugas membantu pihak berkuasa awam termasuklah dalam kategori tersebut.

Penugasan ATM pada saat ini juga amat dialu-alukan sebahagian besar rakyat yang mahu pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan lebih tegas sekali gus penularan wabak Covid-19 dapat diminimumkan.

Tanggungjawab sama turut dimainkan oleh ATM semasa banjir besar di kawasan pantai timur khususnya di Kelantan pada tahun 2014 yang menyaksikan 200,000 mangsa dipindahkan.

Bagi mereka yang masih keliru berhubung penglibatan ATM memantau pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan, ia jelas terkandung dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) iaitu menggariskan dua peranan ATM melibatkan peranan utama dan sekunder.

Menerusi KPP, ATM berperanan melindungi kepentingan negara dan mempertahankan kedaulatan tanah air daripada serangan musuh.

Peranan sekunder pula ialah melaksanakan operasi ketenteraan selain peperangan, membantu pihak berkuasa awam dalam penguatkuasaan serta sokongan usaha keamanan sejagat melalui panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Gabungan kerjasama antara ATM dan PDRM berhubung soal keselamatan juga bukan baharu, malah pernah ditonjolkan menerusi inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan atau National Blue Ocean Strategy (NBOS) pada tahun 2011.

Tujuan utama kolaborasi kreatif NBOS pada masa itu adalah untuk memenuhi keperluan kerajaan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu mengurangkan kadar jenayah.

Walaupun NBOS dikritik pembangkang ketika itu tetapi tanpa sedar kerjasama rondaan polis dan tentera adalah antara mekanisme yang berjaya dalam usaha pihak berkuasa mengekang kemungkinan berlaku ancaman pengganas.

Adalah amat diharapkan kolaborasi PDRM-ATM dalam memantau pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan ini sebagai satu inisiatif meningkatkan rasa selamat dalam kalangan masyarakat selain bukan jalan terakhir membendung penularan wabak Covid-19.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus