Dadah RM21.3 juta dirampas, kes meningkat 99.5 peratus

KOTA BHARU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan mencatatkan peningkatan mendadak rampasan dadah sepanjang Januari hingga 31 Ogos tahun ini apabila merekodkan 27 kes dengan nilai RM21.3 juta, berbanding hanya 12 kes bernilai RM105,601 pada tempoh sama tahun lalu.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, peningkatan itu menunjukkan kes berkaitan dadah meningkat sebanyak 99.5 peratus.
“Sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini jumlah keseluruhan nilai rampasan RM50.2 juta melibatkan 958 kes.
"Antara komoditi utama yang dirampas termasuk rokok dengan nilai RM2.19 juta (133 kes), ayam beku RM2.11 juta (16 kes), beras RM896,049 (169 kes) serta mercun RM112,788 (satu kes)," katanya semasa sidang akhbar di Pejabat JKDM, di sini pada Khamis.
Menurutnya, bagi hasil cukai pula ia dianggarankan berjumlah RM15.8 juta melalui pelbagai rampasan komoditi berkenaan.
“Kerjasama erat semua pihak menjadi dorongan kepada JKDM untuk terus komited mengekang jenayah penyeludupan khususnya di sempadan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

