Juruterbang mabuk, penumpang Japan Airlines terkandas 18 jam

TOKYO – Japan Airlines (JAL) sekali lagi menjadi tumpuan selepas seorang juruterbangnya didapati mabuk sehingga menyebabkan tiga penerbangan tertunda, termasuk satu daripadanya hingga 18 jam.
Perkara tersebut menerima teguran rasmi daripada Kementerian Perhubungan Jepun dan merupakan kali kedua dalam tempoh kurang setahun.
Dalam masa sama, pihak pengurusan JAL tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
Presiden JAL, Mitsuko Tottori mengakui juruterbang terbabit meneguk alkohol secara berlebihan ketika berada di Hawaii hingga gagal mengendalikan penerbangan ke Nagoya keesokan harinya.
"Kami akan memperketat pemantauan terhadap pengambilan alkohol serta tahap kesihatan kakitangan.
"Situasi ini amat serius kerana ia tetap berlaku walaupun peraturan ketat sudah dilaksanakan sejak Disember lalu,” katanya dalam sidang akhbar.
Ketua Keselamatan JAL, Yukio Nakagawa, turut dipanggil ke kementerian dan diberikan peringatan bertulis.
Ini bukan kali pertama JAL dikaitkan dengan masalah alkohol.
Pada Disember tahun lalu, syarikat itu terpaksa melarang pengambilan minuman keras oleh kru sepanjang tugasan menginap selepas dua juruterbang didapati mabuk sebelum penerbangan dari Melbourne ke Narita, menyebabkan kelewatan selama tiga jam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

