Insurans rahmah untuk M40, T20

Semakin ramai golongan berpendapatan tinggi kini mendapatkan rawatan di hospital kerajaan disebabkan premium insurans yang tinggi.
Semakin ramai golongan berpendapatan tinggi kini mendapatkan rawatan di hospital kerajaan disebabkan premium insurans yang tinggi.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dicadang mewujudkan insurans perubatan rahmah atau pada kadar harga berpatutan bagi menangani pertambahan jumlah pesakit golongan berpendapatan tinggi di hospital kerajaan akibat kenaikan premium insurans perubatan serta kos rawatan yang mahal di hospital swasta.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, insurans itu boleh menjadi alternatif kepada rakyat berpendapatan tinggi dan sederhana untuk membeli polisi ditawarkan.

Melalui kaedah itu katanya, kesesakan di hospital kerajaan dapat dikurangkan kerana pemegang polisi insurans rahmah boleh mendapatkan rawatan di pusat kesihatan swasta.

Tze Tzin
Tze Tzin

“Saya cadangkan kita adakan satu insurans rahmah bagi membantu rakyat yang ingin membeli insurans. Maksudnya dia dapat beli dengan harga berpatutan untuk perlindungan tertentu (pilihan).

“Usaha ini boleh menarik minat golongan T20 dan M40 membeli untuk ahli keluarga atau mana-mana syarikat yang ingin membeli polisi ini untuk pekerja mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah yang boleh diambil bagi menangani peningkatan jumlah pesakit di hospital kerajaan susulan kebanyakan golongan berpendapatan tinggi kini beralih kepada sektor perubatan awam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini berkata, golongan T20 dan M40 kini semakin ramai mendapatkan rawatan di hospital awam berikutan peningkatan kos rawatan swasta dan premium insurans yang kian membebankan.

Artikel Berkaitan:

Menurut Dzulkefly, walaupun sebelum ini kumpulan berpendapatan sederhana dan tinggi lebih banyak mendapatkan rawatan di hospital swasta melalui insurans atau bayaran sendiri, namun trend itu kini berubah apabila sebahagian daripada mereka memilih hospital awam, khususnya dalam kes kecemasan atau rawatan susulan.

Sementara itu, ditanya mengenai tahap perkhidmatan di hospital kerajaan, Tze Tzin mengakui tidak berpuas hati terutama dalam aspek tempoh waktu menunggu yang panjang dan kesesakan.

Bagaimanapun katanya, masalah itu memerlukan masa untuk diselesaikan mengambil kira pertambahan jumlah pesakit yang semakin ketara terutama bagi penyakit tidak berjangkit.

“Kalau ditanya sekarang ini memang saya tidak berpuas hati dengan tempoh menunggu yang panjang, tahap kesesakan yang teruk tetapi masalah ini tidak boleh selesai dalam tempoh satu atau dua bulan.

“Sekarang kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Kesihatan memberi tumpuan untuk menaik taraf sistem kesihatan negara melalui peruntukan besar dalam belanjawan negara setiap tahun,” katanya.

Pada Jun 2023, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara memperkenalkan Pakej Rahmah Insurans dan Takaful meliputi perlindungan diri dan harta benda terutamanya golongan B40, dengan sumbangan bulanan serendah RM5 atau RM36 setahun.

Menteri ketika itu, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, syarikat Allianz General Insurance menawarkan Insurans PerlindunganKu Allianz4All dengan perlindungan kemalangan peribadi sehingga RM50,000.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!