DGP reformasi pasaran buruh negara

SHAH ALAM - Dasar Gaji Progresif (DGP) yang diperkenalkan kerajaan mula dilihat sebagai langkah reformasi pasaran buruh negara dalam memastikan pendapatan pekerja meningkat seiring produktiviti.
Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan, Kementerian Ekonomi, Che Rahim Daud berkata, dasar itu merupakan pelengkap kepada gaji minimum kerana pelaksanaan gaji minimum telah menyebabkan berlakunya masalah herotan gaji.
“Dasar ini lebih menumpukan kepada golongan pekerja separuh mahir yang mengalami kenaikan gaji perlahan dan jurang gaji kecil berbanding gaji diterima oleh pekerja berkemahiran rendah menerima kenaikan gaji minimum setiap dua tahun sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi program Wacana Sinar Edisi 482 bertajuk Dasar Gaji Progresif yang diadakan di Studio F Sinar Harian yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian.
Selain Che Rahim, ahli panel lain ialah Ahli Majlis Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Datuk Palaniappan Joseph, Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Asri Ab Rahman dan Penganalisis Ekonomi di Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Dr Baharom Abdul Hamid dan moderator ialah Masrenny Masri.
Menurutnya, DGP diperkenalkan selepas pembentangan kertas putih di Dewan Rakyat pada akhir 2023 dan diikuti projek rintis pada Jun hingga Ogos 2024 sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada tahun ini.
Jelas beliau, dasar ini menggunakan tiga pendekatan iaitu bersifat sukarela, terkait dengan produktiviti iaitu menghubungkan peningkatan gaji dengan prestasi kerja serta kemahiran tambahan yang diperoleh mereka.
Beliau juga menjelaskan, kerajaan turut menyediakan insentif tunai bagi menarik penyertaan syarikat.
“Bagi pekerja peringkat permulaan atau entry level, majikan akan menerima bayaran sehingga maksimum RM200 sebulan. Untuk pekerja bukan peringkat permulaan atau non-entry level, kadar insentif ialah sehingga maksimum RM300 sebulan.
“Usaha kerajaan adalah untuk memberi peluang kepada pekerja sektor swasta meningkatkan pendapatan gaji selaras dengan produktiviti. Ini supaya pekerja lebih bersemangat dan dalam masa sama tidak membebankan majikan,” katanya.
Che Rahim berkata, langkah itu memberi garis masa yang jelas kepada majikan untuk merancang strategi perniagaan seiring pelaksanaan dasar tersebut.
Ujar beliau, kerajaan turut menubuhkan jawatankuasa pelaksanaan DGP yang merentas kementerian dan agensi.
“Antaranya adalah Kementerian Ekonomi, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), termasuk PERKESO, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).
Jawatankuasa ini berfungsi dalam memastikan DGP dilaksanakan sebaiknya dan mencapai matlamat yang disasarkan,” katanya.
Mengulas keberkesanan pelaksanaan awal, Che Rahim berkata, projek rintis yang dijalankan selama tiga bulan sebelum ini bagi membolehkan kerajaan mengenal pasti isu dan cabaran serta mencari jalan penyelesaian sebelum pelaksanaan penuh dilaksanakan.
Beliau menambah, kerajaan memperuntukkan RM200 juta melalui Belanjawan 2025 bagi menyokong pelaksanaan penuh dasar tersebut.
Dana itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 50,000 pekerja di seluruh negara menerusi penyertaan majikan dalam program berkenaan.
Che Rahim berkata, langkah itu selari dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk meningkatkan bahagian pampasan pekerja (CE) kepada keluaran dalam negeri kasar (KDNK) daripada 33.6 peratus pada 2024 kepada 40 peratus menjelang 2030.
“Bagi Ekonomi Madani, kerajaan juga menetapkan sasaran lebih tinggi iaitu 45 peratus pada 2033,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, DGP adalah sebahagian daripada agenda besar kerajaan dalam memperkukuh reformasi pasaran buruh agar pekerja mendapat ganjaran setimpal dengan peningkatan kos sara hidup dan majikan pula beroleh tenaga kerja produktif.
Beliau menegaskan, usaha itu merupakan titik tolak penting bagi membawa Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang 2030.
PKS gusar survival, pekerja tuntut kesaksamaan gaji
SHAH ALAM – Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP) memberi harapan baharu kepada pekerja, namun pada masa sama menimbulkan kebimbangan besar kepada majikan dalam kalangan perusahaan kecil, mikro dan sederhana (PMKS) berhubung kemampuan menampung kos operasi.
Ahli Kaunselor Persekutuan Pekilang Pekilang Malaysia (FMM), Datuk Palaniappan Joseph berkata, secara prinsipnya majikan menyokong usaha kerajaan itu kerana ia dilaksanakan secara sukarela, namun menegaskan kesannya tidak boleh dipandang ringan.

Menurutnya, komponen penggajian merupakan kos terbesar dalam operasi syarikat dan kenaikan mendadak boleh menjejaskan survival terutama bagi PMKS yang mempunyai margin keuntungan yang sangat tipis.
“Kalau gaji sudah dinaikkan, ia tidak boleh ditarik balik. Jadi syarikat mesti menilai kemampuan sebenar sebelum menyertai DGP,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi program Wacana Sinar Edisi 482 bertajuk Dasar Gaji Progresif yang diadakan di Studio F Sinar Harian yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian.
Palaniappan menjelaskan, walaupun syarikat besar mampu menyerap kos tambahan, bagi syarikat kecil setiap sen memberi kesan besar terhadap kelangsungan operasi.
“PMKS ini biasanya ada margin keuntungan bawah 10 peratus. Apabila kos gaji naik, mereka akan rasa tekanan paling kuat,” ujarnya.
Beliau mencadangkan kerajaan mengambil kira kos tambahan itu dalam kontrak perolehan serta memberi tempoh lebih panjang kepada syarikat untuk menyesuaikan diri dengan dasar baharu.
“Di Singapura, mereka beri masa empat tahun. Kalau di sini kita ikut kaedah sama, ia akan mengurangkan tekanan kepada syarikat kecil,” katanya.
Dalam pada itu, Baharom berkata, jurang pendapatan di Malaysia semakin melebar akibat kenaikan gaji pekerja bawahan terlalu perlahan berbanding golongan atasan.
“Pada 1997 juruwang bank terima RM800 manakala Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RM10,000. Hari ini juruwang dapat RM3,000 tetapi CEO boleh cecah RM300,000. Jurang makin besar,” katanya.

Beliau menegaskan, DGP boleh menjadi mekanisme penting bagi mengurangkan ketidakseimbangan itu dengan menghubungkan kenaikan gaji kepada kemahiran dan produktiviti.
“Kalau semua naik sama rata, jurang tetap melebar. Jadi kenaikan lebih besar perlu diberi kepada golongan bawah,” jelasnya.
Baharom turut menekankan konsep no free rider iaitu pekerja mesti meningkatkan kemahiran melalui upskilling dan reskilling untuk mendapat ganjaran lebih tinggi.
Menurutnya, sistem gaji progresif bukan sahaja menguntungkan pekerja, malah memberi manfaat jangka panjang kepada majikan dan negara.
“Bila pekerja ada motivasi, produktiviti akan meningkat. Akhirnya syarikat juga dapat pulangan lebih baik,” ujarnya.
Sementara itu, Asri berkata, hampir 3,000 majikan sudah berdaftar dengan sistem gaji progresif dan lebih 2,000 mengemukakan permohonan insentif.
Menurutnya, data awal menunjukkan median gaji entry level meningkat daripada RM1,800 kepada RM2,200 manakala non entry level sekitar RM2,500.
“Aspek ini membuktikan pelaksanaan dasar memberi kesan positif pada peringkat awal. PERKESO juga memperluaskan perlindungan sosial kepada pekerja gig, suri rumah dan sektor informal,” katanya.
Beliau menjelaskan, pendekatan sukarela dalam DGP lebih berkesan berbanding paksaan undang-undang kerana syarikat berasa dihargai apabila diberi pilihan untuk menyertai.
“Kalau dibuat melalui undang-undang, mungkin ada pihak menolak. Dengan cara ini mereka lebih bersedia dan terbuka,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
