Ugut bakar LNG Bintulu, mesej didakwa guna nombor Indonesia

Semua kemudahan LNG di Bintulu, Sarawak telah memperketatkan langkah keselamatan berikutan satu ancaman yang tidak diperincikan. - Gambar hiasan, gambar kecil: Fadillah
Semua kemudahan LNG di Bintulu, Sarawak telah memperketatkan langkah keselamatan berikutan satu ancaman yang tidak diperincikan. - Gambar hiasan, gambar kecil: Fadillah
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kakitangan Petronas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan yang didakwa menggunakan nombor telefon dari Indonesia bagi mengancam fasiliti gas asli cecair (LNG) di Bintulu, Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, setakat ini pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu yang menghantar mesej terbabit.

“Saya dimaklumkan bahawa ada yang menerima SMS ugutan yang menggunakan nombor telefon Indonesia.

“Tapi siapa? Polis masih membuat siasatan. Jadi, sebagai langkah berjaga-jaga, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengarahkan kawalan diperketatkan di semua loji LNG,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Wanita, Keamanan dan Keselamatan serta Sidang Kemuncak Wanita, Keamanan dan Keselamatan ASEAN 2025 di sini pada Selasa.

Sebelum ini, MKN mengarahkan semua kemudahan LNG di Bintulu, Sarawak memperketatkan langkah keselamatan berikutan satu ancaman yang tidak diperincikan.

MKN dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa arahan tersebut dikeluarkan bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci berhubung ancaman berkenaan.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata pihak terbabit ada meminta maklum balas berhubung sesuatu perkara, namun disebabkan tiada respons, ancaman sedemikian dibuat.

“Dia minta menjawab sesuatu tetapi sebab tidak ada respons, dia mengugut untuk membakar fasiliti LNG kita. Tetapi tidak tahu yang mana satu,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan memandang serius ugutan berkenaan dan tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan sektor tenaga negara.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!