Tuhan bukan hamba kita!

A
A
A

“APAKAH nasihat Datuk Seri kepada rakyat jelata tentang apa yang berlaku sekarang?’’ Begitulah soalan yang dikemukakan pengacara Bicara Naratif RTM 1 kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bersiaran langsung beberapa hari lalu.

Jawapan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Tuan Guru kepada soalan tersebut pada akhir rancangan amat menarik untuk kita fikir-fikirkan.

Terutama juga oleh segelintir golongan agamawan yang memberi malu kepada Islam itu sendiri.

Ada juga segelintir rakyat jelata terlibat dalam memberi naratif yang boleh mengelirukan penganut agama lain kepada Islam.

Dan mungkin juga itulah maksud malas sebenarnya yang banyak kali diperkatakan Tun Dr Mahathir Mohamad. Mungkin.

Dalam media sosial, WhatsApp dan lain-lain lagi, banyak juga mesej-mesej yang dihantar memperlekehkan orang yang bimbang kepada Covid.

Ada mesej yang dihantar dengan bangganya bertanya kenapa perlu takut kepada Covid?

Yang memberi kenyataan ini jika rakyat biasa bolehlah kita pertimbangkan juga dengan akal yang sihat ini.

Artikel Berkaitan:

Tetapi apabila ia datang daripada golongan agamawan, ini menyebabkan akal kita yang sihat ini mungkin boleh menjadi tidak sihat pula.

Apatah lagi pakcik makcik kampung yang memang rajin datang kuliah setiap hari amat mudah terpengaruh.

Ini terbukti apabila saya membaca juga mesej WhatsApp yang ditunjukkan isteri saya.

“Apa nak ditakutkan sangat dengan Covid ini. Takutlah dengan ALLAH,” kata Makcik Leha yang tidak kisah sangat dengan hidupnya, malah mungkin sedang menunggu bila malaikat maut muncul.

“Covid ini makhluk Tuhan juga. Kenapa perlu takut?” kata lagi Pakcik Abu yang memang tidak takut kepada apa-apa makhluk pun.

Saya jamin kalau harimau datang, Pak Abu dengan sukacitanya akan menggosok-gosok kepala harimau dengan penuh manja.

“Kita ini dah seperti menunggu giliran mati dengan Covid ni. Tapi hakikatnya memang kita sedang tunggu mati pun. Sampai masa, matilah juga kita. Apa nak dirisaukan dengan wabak ini,” kata Makcik Su yang mungkin ketika itu sedang mengira berapa sudu gula yang perlu di masukkan ke dalam secawan tehnya.

“Tak perlu tutup masjid. Patutnya kita perlu beramai-ramai berdoa di masjid untuk hapuskan bala ni. Berserahlah kepada ALLAH,” kata Pak Nordin yang mungkin ketika itu sedang menunggu bini memasak nasi goreng.

Akal

Begitulah keadaan yang melanda negara kita ini. Jika diteliti boleh menyebabkan kita yang waras dan mempunyai akal sihat ini akan menjadi tidak sihat juga.

Entah kenapa ramai yang tidak mahu menggunakan akal diberi Tuhan. Banyak sahaja ayat al-Quran yang menggunakan kata kerja menyuruh kita berfikir.

Al-Quran tidak menggunakan perkataan kata nama akal. Sebaliknya menggunakan perkataan kata kerja. Sedangkan menggunakan perkataan kata kerja pun ramai yang tidak mahu berfikir.

Dan yang lebih mendukacitakan ialah apabila ia datang daripada golongan agamawan itu sendiri lantas menjadikan Islam ini pelik dipandang penganut agama lain.

Jawapan dari Datuk Seri Tuan Guru dalam rancangan Bicara Naratif itu adalah sangat perlu difahami.

Ramai yang tidak sedar sebenarnya apabila menyerah bulat-bulat kepada Tuhan adalah sifat bongkak manusia.

“Itulah sifat bongkak manusia,” jerit saya membulatkan mata merenung mata Pak Salim.

“Apa yang kau melalut ni? Aku dok tunggu kau nak dengar jawapan Tok Guru dari tadi lagi. Tak sempat nak tengok TV,” kata Pak Salim berang.

“Oh, sebenarnya jawapan Tok Guru ringkas sahaja. Jangan jadikan Tuhan hamba. Kitalah hamba yang perlu ikhtiar bukan Tuhan. Apabila kita menyerah bulat- bulat kepada Tuhan dengan kata lain bertawakal semata-mata, maka seolah-olah Tuhan pula hamba.”

“Maknanya sekarang ini, kita telah jadikan Tuhan pula hamba untuk selesaikan masalah kita?” tanya Pak Salim.

“Jawab sendirilah,” kata saya.

* Faisal Muhamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel: mrfaisalmuhamad@gmail.com