Inkues Zara Qairina: Patung simulasi rosak dijangka dibawa ke Mahkamah Koroner

Prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir memasuki hari kelima pada Rabu di Mahkamah Koroner, Kota Kinabalu. Foto: Sinar Harian
Prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir memasuki hari kelima pada Rabu di Mahkamah Koroner, Kota Kinabalu. Foto: Sinar Harian
A
A
A

KOTA KINABALU - Prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir memasuki hari kelima pada Rabu di Mahkamah Koroner, bersambung dengan keterangan daripada pegawai polis, Inspektor Maidon Bernados dari Bahagian Siasatan Jenayah D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Maidon, saksi atau deponan kelima inkues, dipanggil untuk disoal oleh pasukan-pasukan peguam yang menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding tersebut.

Perbicaraan yang berlangsung setengah hari itu dijangka menumpukan kepada simulasi dan patung yang digunakan menerusi dua rakaman video yang dipaparkan di mahkamah pada Selasa.

Simulasi berkenaan dijalankan oleh pasukan yang diketuai Maidon di lokasi kejadian sekitar jam 3 pagi, 3 Ogos lalu.

Susulan simulasi itu, pasukan peguam yang mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, serta peguam bagi bapa, Mahathir Hashim @ Marikin memaklumkan akan menyoal saksi dalam prosiding tersebut.

Pasukan polis trafik melakukan kawalan di laluan masuk Mahkamah Kota Kinabalu. Foto: Sinar Harian
Pasukan polis trafik melakukan kawalan di laluan masuk Mahkamah Kota Kinabalu. Foto: Sinar Harian

Kedua-dua pihak ibu dan bapa masing-masing diwakili peguam Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Farrah Nasser serta Sherzali Asli, bersama dua rakan guaman, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.

Sementara itu, peguam Joan Goh yang mewakili salah seorang daripada lima remaja tertuduh turut akan menyambung soalan kepada saksi berhubung penggunaan patung tersebut, yang dimaklumkan telah rosak selepas simulasi dijalankan.

Artikel Berkaitan:

Pasukan itu turut dibarisi Datuk Ram Singh dan Prem Elmer Ganasan manakala empat lagi tertuduh diwakili peguam Azhier Farhan Arisin dan Abdul Fikry Jaafar Abdullah.

Kesemua pasukan berperanan sebagai pihak berkepentingan dalam inkues bagi merungkai punca kematian pelajar Tingkatan Satu berkenaan pada 17 Julai lalu.

Inkues yang berjalan sepanjang bulan ini dikendalikan oleh Timbalan Ketua Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad, bersama Timbalan Pendakwa Raya Raya Dana Arabi Wazani, Mohd Fairuz Johari dan Dena Dacia Jane di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!