PM Nepal letak jawatan, protes ganas memuncak

KATHMANDU - Perdana Menteri Nepal, Khadga Prasad Sharma Oli meletak jawatan pada Selasa selepas siri protes ganas melanda negara Asia Selatan itu.
Pengunduran Oli dilakukan setelah 'amukan' penunjuk perasaan menyasarkan bangunan awam dan rumah ahli politik susulan insiden kematian 19 mangsa dalam pertempuran dengan pihak berkuasa.
Kediaman peribadi Oli menjadi salah satu sasaran arson dan vandalisme sehingga menyebabkan tentera terpaksa menggunakan helikopter untuk memindahkan para menteri dari kawasan Bhaisepati.
Difahamkan, Oli memegang jawatan Perdana Menteri selama empat penggal bermula Oktober 2015.
Pada Julai 2024, pemimpin berusia 73 tahun itu dilantik semula untuk menggantikan Pushpa Kamal Dahal setelah keruntuhan kerajaan pimpinan beliau apabila Parti Komunis Marxis Leninist Bersatu (CPN-UML) yang dipimpin Oli membentuk gabungan baharu bersama Parti Kongres.
Sementara itu, operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan dihentikan sementara atas faktor keselamatan.
Ketika ini, perintah berkurung telah dilaksanakan di kawasan sekitar Kathmandu dan daerah lain bagi mengekang demonstrasi ganas tersebut yang berpunca daripada larangan kerajaan terhadap penggunaan platform media sosial.
Demonstran kemudiannya menuntut perubahan kerajaan dan tindakan tegas terhadap korupsi. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

