'Nusantara & Nippon: Cross-Culture Expression' penyatuan budaya melalui seni

SHAH ALAM - Pameran seni antarabangsa 'Nusantara & Nippon: Cross-Culture Expression' anjuran Institut Seni Kreatif Nusantara (INSAN) bersama Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan kerjasama Nagoya University of The Arts (NUA), Jepun merupakan platform penting menghubungkan warisan budaya dengan inovasi moden.
Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, pameran tersebut bukan sekadar mempamerkan karya seni tetapi berfungsi sebagai jambatan yang menyatukan tradisi dengan pemodenan.

"Peranan seni sebagai bahasa universal dan pemacu ekonomi kreatif. Seni adalah bahasa tanpa sempadan. Ia mampu menghubungkan manusia, mempromosikan keamanan dan menanam nilai murni dalam masyarakat.
"Seni bukan hanya ekspresi kreatif, tetapi cara hidup yang membentuk komunikasi, interaksi dan keharmonian," katanya ketika majlis perasmian pameran Nusantara & Nippon: Cross-Culture Expression di Galeri Shah Alam, Yayasan Seni Selangor di sini pada Selasa.
Pameran berkenaan berlangsung selama empat hari di galeri tersebut bermula 8 hingga 12 September ini terbuka untuk masyarakat umum, pelajar, penggiat seni serta pencinta budaya hadir bersama-sama meraikan persabahatan, kreativiti dan keindahan seni yang merentas sempadan.

Muhammad Nasir turut mengangkat kerjasama antara INSAN UiTM dan NUA sebagai contoh pengantarabangsaan yang berteraskan industri.
"Kerjasama ini bukan sekadar pertukaran budaya. Ia adalah usaha memperkukuh penyelidikan, menghubungkan seni tradisional dengan amalan kontemporari dan melahirkan inovasi yang boleh dikomersialkan, seterusnya menyumbang kepada ekonomi kreatif Malaysia dan Jepun," katanya.
Datuk Muhammad Nasir menegaskan seni mempunyai kuasa untuk menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang, agama atau bangsa.
Menurut beliau, ketika dunia berdepan pelbagai konflik, seni boleh menjadi alat mendamaikan.
"Hari ini dunia berada di ambang peperangan, tetapi seni mampu menjadi perantara keamanan. Hanya melalui seni kita dapat menghubungkan hati manusia dan memupuk nilai kasih sayang," ujarnya.
Beliau juga menyeru agar seni terus dipromosikan untuk semua lapisan masyarakat termasuk dengan menetapkan harga karya yang berpatutan supaya dapat dimiliki semua.
Seni, katanya, bukan sahaja untuk apresiasi tetapi juga sebagai pemacu pembangunan ekonomi, mempengaruhi teknologi dan menggerakkan industri kreatif masa depan.

Beliau turut menekankan pameran berkenaan sebagai bukti seni tidak pernah mati, sebaliknya terus menyesuaikan diri dan memacu kemajuan.
"Semoga kerjasama ini terus berkembang, memperkayakan penyelidikan, memperkasakan industri, memberi inspirasi kepada komuniti dan mengukuhkan hubungan erat antara Malaysia dan Jepun.
"Mudah-mudahan usaha ini dapat diperluas ke negara lain agar seni menjadi penghubung keamanan sejagat. Pameran ini juga menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan seni, budaya dan industri antara Malaysia dan Jepun, sekali gus memacu daya saing kreatif di peringkat global," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Institut Semi-Kreatif INSAN, Profesor Dr Muhammad Kipli Abdul Rahman berkata, pameran tersebut bertujuan memupuk dialog silang budaya, memperkukuh kerjasama akademik serta menggalakkan persefahaman antara masyarakat Malaysia dan Jepun melalui medium seni.
Ujarnya, seni adalah bahasa sejagat yang mampu merapatkan jurang perbezaan sambil menonjolkan keunikan identiti dan nilai budaya kedua-dua negara.

"Kolaborasi ini juga sejajar dengan aspirasi UiTM dalam memperkukuh jaringan global, di samping menyokong pengiktirafan Hasil Penyelidikan Bukan Tradisional (Non-Traditional Research Outputs - NTROs) dalam bidang seni dan budaya," katanya.

Sementara itu, pensyarah NUA, Professor Masahiro Suda berkata, pameran berkenaan dapat menemui perbezaan dan persamaan, seterusnya memperoleh inspirasi baharu.
Jelasnya, seni mempunyai kuasa untuk menghubungkan manusia melangkaui bahasa dan sempadan.

"Melihat karya-karya di sini hari ini mengingatkan saya bahawa kreativiti berbicara dalam bahasa sejagat. Ia membolehkan kita berkongsi pengalaman dan impian secara terbuka.
"Saya berharap kerjasama ini akan terus berkembang dengan mewujudkan lebih banyak peluang untuk kita saling belajar antara satu sama lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

