Thaksin diarah jalani hukuman penjara setahun

BANGKOK - Mahkamah Agung Thailand pada Selasa memutuskan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra perlu menjalani hukuman penjara selama setahun.
Keputusan itu dibuat selepas penahanan beliau di sayap VIP di sebuah hospital untuk menggantikan hukuman penjara dianggap tidak sah.
"Defendan sedar penyakitnya bukan kritikal dan berada di hospital tidak boleh dikira sebagai hukuman penjara," ujar kenyataan dikeluarkan panel lima hakim tersebut.
Susulan itu, mahkamah mengarahkan waran dikeluarkan untuk membawa Thaksin ke Penjara Reman Bangkok.
Thaksin, 76, menyatakan beliau menerima keputusan itu dengan hati terbuka.
"Hari ini, saya tidak lagi bebas. Tetapi, saya mempunyai kebebasan berfikir untuk mencipta manfaat kepada rakyat dan negara. Saya akan kekal kuat dari segi mental dan fizikal serta berkhidmat untuk raja, negara dan rakyat Thailand," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sebelum ini, bilionair berusia 76 tahun itu dihukum penjara selama lapan tahun atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa setelah beliau kembali ke tanah air pada Ogos 2023.
Tetapi, Thaksin tidak pernah sekali pun bermalam dalam sel penjara dan hanya berada di balik tirai besi selama beberapa jam sebelum dipindahkan ke bilik peribadi di Hospital Besar Polis di Bangkok setelah mengadu sakit dada.
'Layanan istimewa' itu bagaimanapun mencetuskan kritikan orang ramai.
Hukuman itu kemudiannya dikurangkan kepada setahun dan pemimpin berpengaruh itu dibebaskan dengan parol selepas enam bulan ditempatkan di hospital.
Sementara itu, anaknya, Paetongtarn yang baru dipecat oleh Mahkamah Perlembagaan minggu lalu mengecam keputusan tersebut.
"Bapa saya jadi Perdana Menteri pertama dihukum penjara meskipun beliau telah banyak berbakti kepada negara. Saya bimbang dengan keadaan kesihatannya," katanya kepada petugas media di pekarangan mahkamah itu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

