SPRM pulih wang RM12 juta kes Sapura Energy

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memulihkan wang berjumlah kira-kira RM12 juta yang dipercayai ada kaitan dengan siasatan melibatkan syarikat penyedia penyelesaian minyak dan gas, Sapura Energy Berhad.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan Timbalan Pendakwa Raya.
"Tindakan pemulihan ini turut dipersetujui pihak peguam dan wang berkenaan akan dilucuthak serta dikembalikan kepada kerajaan dalam masa terdekat.
"Selain itu, pihak Timbalan Pendakwa Raya juga akan mempertimbangkan sama ada terdapat pertuduhan atau tidak terhadap mana-mana pihak," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Selasa.
Menurutnya, terdapat dua kes disiasat SPRM membabitkan Sapura Energy Berhad pada 2018, manakala satu lagi kes berkaitan aset di luar negara masih berjalan.
Media sebelum ini pada Mac lalu melaporkan SPRM membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan pembayaran rasuah dan penyelewengan melibatkan Sapura Energy.
Siasatan tersebut dijalankan berdasarkan hasil maklumat awal pada penghujung 2023 berkaitan beberapa tuntutan syarikat terbabit.
SPRM memaklumkan, kedua-dua kertas siasatan dibuka bagi meneliti dakwaan pengubahan wang haram serta penyelewengan sekitar tahun 2018.
Setakat ini, seramai 15 saksi telah dirakam keterangan namun tiada sebarang tangkapan dibuat sepanjang tempoh siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

