Seludup lembu, kambing di sempadan ada kaitan sindiket dadah - Mohamad Sabu

Mohamad (depan, dua dari kiri) ketika melawat ke Kandang Ternakan Lembu Wagyu Kelfarm di Seribong, Kota Bharu pada Ahad.
FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Mohamad (depan, dua dari kiri) ketika melawat ke Kandang Ternakan Lembu Wagyu Kelfarm di Seribong, Kota Bharu pada Ahad. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU – Penyeludupan lembu dan kambing di sempadan Malaysia-Thailand, khususnya di Kelantan, bukan sahaja menjejaskan industri penternakan tempatan, malah turut dikaitkan dengan kegiatan penyeludupan dadah ke negara ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penyeludupan dadah merupakan salah satu daripada tiga kesan buruk yang berpunca daripada kemasukan haiwan ternakan secara haram.

Menurut beliau, kesan pertama adalah harga jualan lembu dan kambing yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran, sekali gus memberi tekanan besar kepada penternak tempatan.

“Kesan kedua, haiwan itu tidak diperiksa tahap kesihatan atau penyakitnya, sepatutnya perkara ini diutamakan kerana melibatkan kepentingan pengguna.

“Selain itu, penyeludupan haiwan ternakan juga ada kaitan dengan kes penularan dadah yang tinggi di negeri ini, malah kita tidak tahu apa yang berlaku di kampung-kampung,” katanya selepas merasmikan Kandang Ternakan Lembu Wagyu Kelfarm di Seribong, di sini pada Ahad.

Mohamad menambah, undang-undang berkaitan penyeludupan di Malaysia dilihat keras, namun hakikatnya bertujuan untuk menjaga keselamatan rakyat.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan lebih 70,000 ekor lembu diseludup masuk ke negara ini pada tahun lalu.

“Jika keadaan ini berterusan, penternak di Kelantan dan Kedah akan berdepan masalah besar.

“Bagi penyeludup, mungkin mereka untung ribuan ringgit, tetapi hakikatnya mereka menganiaya seluruh negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, pihak berkuasa pernah mendedahkan modus operandi sindiket dadah yang menyorokkan bahan terlarang dalam usus dan bahagian buntut ternakan dari Thailand bagi mengaburi pihak berkuasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!