Hentikan kebocoran hasil negara, kartel diesel wajib diburu

Laporan muka depan Sinar Harian berhubung kartel pembekalan diesel di Sarawak.
Laporan muka depan Sinar Harian berhubung kartel pembekalan diesel di Sarawak.
A
A
A

PENDEDAHAN berhubung kewujudan sebuah syarikat yang didakwa memonopoli tender pembekalan diesel di Sarawak selama lebih satu dekad menimbulkan persoalan besar terhadap keberkesanan sistem kawal selia serta pemantauan agensi kerajaan.

Sinar Harian melaporkan syarikat terbabit dipercayai menjalankan kegiatan secara terancang dengan menggunakan taktik rasuah, penyeludupan dan penyelewengan, sekali gus mewujudkan ekosistem industri tidak sihat dan menjejaskan persaingan terbuka.

Menurut sumber, rangkaian sindiket itu dipercayai membayar wang rasuah kepada ‘orang dalam’ sebagai balasan untuk memperoleh kontrak atau tender pembekalan minyak diesel di sekitar negeri terbabit.

Kegiatan kartel berkenaan bukan sahaja menjejaskan persaingan sihat dalam industri, malah memberi kesan langsung kepada ekonomi negeri dengan kerugian mencecah puluhan juta ringgit.

Kebimbangan utama ialah apabila kartel dibiarkan berleluasa, ia akan mewujudkan ekosistem perniagaan yang tidak adil, menutup peluang syarikat lain serta merosakkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.

Pada 25 Ogos tahun lalu, pihak berkuasa pernah membongkar tindakan sindiket penyeludupan yang menjual diesel kepada pihak luar selain merasuah penguat kuasa.

Operasi serbuan di sebuah depoh penyimpanan minyak dekat Sungai Bidut, Sibu, dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) dan Skuad Taktikal Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, risikan mendapati sindiket berkenaan bergiat aktif sejak 2012 dan mengaut keuntungan RM400 juta dengan menjual minyak diesel bersubsidi untuk kegunaan nelayan kepada pihak luar pada kadar harga tertentu.

Jika dilihat dalam jangka panjang, situasi ini boleh melemahkan daya saing industri tenaga tempatan serta meningkatkan kos operasi kepada pengguna.

Artikel Berkaitan:

Pihak berkuasa, khususnya SPRM dan KPDN, perlu memperhebatkan siasatan serta mengambil tindakan segera terhadap mana-mana pihak yang terlibat.

Kerajaan negeri pula tidak boleh berdiam diri. Mekanisme pemantauan tender mesti diperketatkan agar tidak lagi dimanipulasi oleh segelintir pemain industri.

Ketelusan dan akauntabiliti dalam proses perolehan adalah kunci utama bagi memulihkan keyakinan rakyat.

Kesimpulannya, isu kartel diesel ini jelas menunjukkan betapa seriusnya ancaman rasuah dan penyelewengan terhadap ekonomi negara.

Selagi ia tidak dibanteras secara menyeluruh, selagi itu hasil negara akan terus bocor, persaingan industri tidak adil dan rakyat akhirnya menanggung beban.

Tindakan tegas, segera dan berterusan daripada pihak berkuasa serta komitmen kerajaan dalam memperketatkan pemantauan adalah satu-satunya jalan untuk memutuskan cengkaman kartel yang sudah berakar umbi ini.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!