Trump beralih daripada pendamai global kepada 'pengugut dunia'

Presiden ke-47 AS ini juga terkenal sebagai 'pemimpin pusingan U'.
Presiden ke-47 AS ini juga terkenal sebagai 'pemimpin pusingan U'.
A
A
A

WASHINGTON - Situasi peperangan yang gagal mengikut telunjuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyebabkan pemimpin itu mula berubah perwatakan daripada pendamai global kepada 'pengugut dunia', sekali gus mendedahkan kelemahan dasar beliau yang caca marba.

Trump, 79, akhirnya mempamerkan sisi sebenar beliau sebagai diktator apabila memberikan 'amaran terakhir' kepada Hamas supaya menerima perjanjian bagi membebaskan baki tawanan di Gaza.

“Israel telah menerima syarat saya dan sudah tiba masanya Hamas membuat keputusan serupa. Saya memberi amaran keras tentang akibat dahsyat jika mereka gagal berbuat demikian. Tidak akan ada peluang lain,” menurut catatan beliau yang berunsur ugutan di platform Truth Social pada Ahad.

Sebagai respons, Hamas menyatakan ia menerima beberapa idea Washington dan sedang berbincang dengan negara perantara.

Draf perjanjian damai sebelum ini gagal mencapai sebarang kemajuan setelah Israel cuba berlengah-lengah, namun AS hanya menutup sebelah mata dan menuding jari menyalahkan Hamas.

Selain itu, Trump turut mengancam untuk mengenakan sekatan tambahan ke atas Rusia setelah Kremlin melancarkan serangan udara terbesar ke atas Ukraine sejak sidang kemuncak Washington-Moscow pada 15 Ogos lalu.

Pemimpin itu yang sememangnya naik angin dengan sikap acuh tak acuh Presiden Rusia, Vladimir Putin untuk meredakan perang menegaskan beliau tidak berpuas hati dengan situasi tersebut meskipun Washington cuba 'berlembut' dengan Moscow setelah berdepan desakan Kiev.

Bukan setakat mengugut negara luar, Trump juga membuat ancaman mahu 'melancarkan perang' di Chicago di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat setelah beliau merancang untuk mengerahkan tentera ke bandar-bandar di bawah kawalan Demokrat.

Pada Sabtu, ribuan penunjuk perasaan mengadakan protes membantah penempatan Pengawal Negara sejak Trump mengisytiharkan 'darurat jenayah' di Washington pada bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

Beberapa penganalisis percaya Trump mula tak tentu arah sejak pertemuan tiga 'seteru' AS iaitu, Presiden China, Xi Jinping, Putin dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada minggu lalu hingga menyebabkannya paranoid jika trio tersebut bergabung untuk menentang Washington. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!