Selangor tambah baik infrastruktur bendung banjir monsun

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor telah melaksanakan pelbagai langkah penambahbaikan infrastruktur bagi menghadapi musim monsun pada hujung tahun ini.
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Ir Izham Hashim berkata, persiapan kali ini berbeza berbanding sebelumnya apabila beberapa projek mitigasi banjir telah dilaksanakan di enam pihak berkuasa tempatan (PBT) utama yang dikenal pasti sebagai kawasan kritikal.
“Banjir ini kita hadapi setiap tahun, tetapi bezanya kali ini banyak penambahbaikan telah dibuat. Saya sendiri sudah turun padang ke enam PBT baru-baru ini dan sebahagiannya sudah siap, manakala ada yang masih berjalan sebagai 'quick win' atau langkah segera menjelang monsun,” ujarnya.
Beliau berkata, persediaan lain termasuk pemasangan pam mudah alih, penyelenggaraan pintu air serta koordinasi operasi di bawah pengurusan bencana negeri.
“Malah, Exco Belia dan Sukan Negeri yang juga Exco Pengurusan Bencana, Mohd Najwan Halimi turut bersiap siaga sekiranya berlaku krisis. Insya-ALLAH, kita laksanakan yang terbaik dari aspek penyelenggaraan, kesiapsiagaan dan memastikan projek ikut jadual.
"Pemantauan tetap dan berkala turut dibuat bagi memastikan semua kerja disiapkan mengikut perancangan,” ujarnya kepada Sinar Harian.
Izham berkata, enam PBT yang telah dilawati ialah Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
“Ini kawasan kritikal yang serius. Selepas ini saya akan turun ke Sepang, manakala kawasan lain juga diberi perhatian tetapi tidak seteruk enam lokasi berkenaan,” jelasnya.
Tegasnya, tumpuan bukan hanya kepada PBT semata-mata, sebaliknya turut melibatkan pelbagai agensi teknikal termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) serta Indah Water Konsortium (IWK).
“Semua pihak bekerjasama untuk menyiapkan bahagian masing-masing supaya ekosistem pencegahan banjir dapat berfungsi dengan baik,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

