Pemuda MCA pertahan pendekatan politik bertanggungjawab, tolak dakwaan Lian Ker

SHAH ALAM - Pemuda MCA mempertahankan pendekatan parti terhadap masa depannya dalam Barisan Nasional (BN) dengan menyifatkannya sebagai politik yang bertanggungjawab dan bukannya melengah-lengahkan keputusan seperti didakwa bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, MCA perlu mendapatkan pandangan daripada ahli di setiap peringkat sebelum membuat keputusan muktamad dan parti tidak seharusnya bertindak secara terburu-buru.
“Politik bukanlah seperti lumba lari, siapa laju akan menang. Tetapi politik adalah mengenai pilihan masa dan strategi yang sesuai. Sebagai orang politik yang berpengalaman, Datuk Seri (Lian Ker) pastinya sedar bahawa dalam politik, satu hari itu adalah tempoh masa yang terlalu lama.
“MCA tidak boleh tergesa-gesa atau bertindak secara melulu. Jika mempunyai idea membina, Datuk Seri boleh berkongsi dengan kepimpinan parti dan bukannya ‘membalun’ kepimpinan parti di luar. Ini juga dilihat sebagai usaha memecah-belahkan parti,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Sebelum ini, Lian Ker mendakwa MCA dilihat masih terperangkap dalam kelangsungan hala tuju politik berbanding MIC yang lebih jelas dan tegas untuk melangkah daripada terus menjadi sekadar pelengkap ‘hiasan’ dalam BN.
Menurutnya, perkara itu membimbangkan kerana kepimpinan parti berkenaan kini tidak menunjukkan ketegasan pada saat paling diperlukan.
Tambah Choo Seong, MCA hari ini sedang berusaha untuk memperbaiki segala kelemahan dan sedang menyusun langkah demi survival parti secara praktikal dan teratur.
Ujar beliau, BN bukanlah sekadar gabungan politik, tetapi ia adalah sebahagian daripada DNA politik Malaysia.
“Peranan MCA dalam BN bukanlah sesuatu yang boleh kita buang begitu sahaja dan keluar BN pada waktu sekarang tidak semestinya pilihan terbaik melainkan disokong oleh fakta dan angka yang kukuh.
“Pada saya, tidak perlu bandingkan MCA dengan DAP yang ternyata hanya bergantung kepada sentimen dalam usaha meraih undi, apatah lagi memainkan kad perkauman dan bersikap cauvinis,” katanya.
Jelasnya, MCA ialah sebuah parti yang kekal dengan ideologi parti yang moderat, menjunjung nilai-nilai murni serta berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan.
Ujarnya, sebarang keputusan sama ada kekal atau keluar BN perlu bermula dari peringkat bahagian kemudian ke negeri, dan akhirnya ke peringkat pusat melalui Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti.
“Saya mengakui bahawa terdapat pelbagai suara dan pandangan berbeza dalam MCA. Ada yang mahu keluar, ada juga yang percaya kita perlu berhati-hati dalam membuat keputusan. Adakah Datuk Seri hanya mahu parti mengikut kata dan kehendak diri sahaja?
“Kita seharusnya menumpukan sepenuh perhatian untuk berkhidmat kepada rakyat dan menangani isu-isu yang membelenggu hidup rakyat, terutamanya tekanan ekonomi yang tidak menentu ketika ini,” ujarnya.
Kata Choo Seong, di peringkat Pemuda MCA, pihaknya sedia memberi sokongan sepenuhnya apabila pucuk pimpinan membuat keputusan.
Jelasnya, tetapi keputusan itu mestilah melalui proses demokratik dengan mengambil kira suara dan pandangan ahli di peringkat akar umbi, masyarakat sivil, badan pemikir, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat secara holistik.
“Politik yang matang adalah politik yang saling membantu kepimpinan dengan menyumbang idea membina dan bersatu dalam tindakan, bukannya ‘menembak kaki sendiri’.
“Saya harap Datuk Seri akan lebih bertanggungjawab apabila menyatakan pendapat. Benar, setiap perbezaan harus diraikan, tetapi biarlah selaras dengan prinsip, nilai dan disiplin parti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

