'Mowgli Malaysia' cipta inspirasi, mahu jadi tenaga mahir bidang automotif

KUALA TERENGGANU – Remaja yang pernah tular kerana kehidupannya membesar bersama puluhan ekor kerbau kini melangkah setapak ke hadapan selepas menghabiskan Kursus Teknologi Motosikal selama enam bulan di GiatMara Hulu Terengganu.
Muhammad Syukur Khamis, 20, atau lebih dikenali sebagai ‘The Kampung Boy’ dan diberi julukan ‘Mowgli Malaysia’, diraikan pada Majlis Graduasi GiatMara ke-38 yang berlangsung di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini pada 3 September lalu.
Anak bongsu daripada lapan beradik itu berkata, bidang tersebut dipilih kerana minat mendalam terhadap dunia automotif khususnya motosikal berkuasa tinggi, selain mahu menimba pengalaman baharu selepas menamatkan alam persekolahan.
“Tempoh kursus bergantung kepada modul, biasanya enam bulan. Sekarang saya telah belajar teori dan praktikal asas.
“Saya bersyukur kerana berjaya tamatkan pengajian sebab waktu mula-mula dulu saya langsung tak kenal sebarang alatan, sekarang saya pandai membaiki komponen motosikal,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.
Jelas Syukur, buat masa ini dia ingin memberikan tumpuan membantu abangnya di bengkel motosikal.
“Selepas habis pengajian ini biasanya akan ada latihan praktikal, tapi buat masa ini saya mahu tumpu dahulu kerja di bengkel motosikal milik abang.
“Daripada situ saya boleh tambah ilmu dan timba lebih banyak pengalaman sebenar dalam bidang ini.”

Syukur berkata, dia menyimpan impian untuk menjadi tenaga mahir dalam bidang automotif khususnya membaiki motosikal dan berharap agar suatu hari nanti mampu mengendalikan semua jenis kenderaan dua roda.
“Sekarang saya belum ada perancangan besar, fokus saya adalah bekerja di bengkel dan belajar sebanyak mungkin ilmu dalam bidang ini.
“Impian saya nak mahir dalam semua jenis motosikal, kalau boleh suatu hari nanti saya nak jadi tenaga pengajar dalam bidang ini dan saya sedang berusaha ke arah itu,” ujarnya.
Walaupun sibuk dalam bidang yang diceburi, Syukur tetap tidak meninggalkan rutin harian menjaga kerbau peliharaan keluarganya.
Menurutnya, buat masa ini terdapat sebanyak 89 ekor kerbau dengan majoritinya betina yang dipelihara di Kampung Kubang Bujuk, di sini.
“Kerbau memang sebahagian daripada hidup saya. Walaupun sibuk belajar, saya tetap tolong ayah dan keluarga uruskan. Ayah saya (Khamis Jusoh) sudah berusia 70 tahun, jadi sebagai anak, saya akan teruskan tanggungjawab menjaga haiwan peliharaannya,” katanya.
Sebelum ini, kisah Syukur pernah mencuri perhatian masyarakat dalam dan luar negara sekitar 2019 apabila gambar memaparkan kehidupannya bersama kerbau tular sehingga diberi gelaran sebagai Mowgli Malaysia.
Populariti remaja itu semakin melonjak di persada antarabangsa apabila fotonya bersama kerbau terpilih untuk dipamerkan di sebuah galeri di Rom, Itali ketika berusia 14 tahun.
Foto hasil bidikan jurugambar, Mohd Nazri Sulaiman berjudul Sharing Emosi (Berkongsi Emosi) yang diangkat sebagai Imej Asia 2018 oleh Asian Geographic terpilih untuk dipamerkan sempena pameran imej terbaik Alfred Fried Photography Award 2018.
Walaupun kini semakin menginjak usia dewasa, Syukur membuktikan bahawa anak muda luar bandar juga mampu mencipta inspirasi dengan mengekalkan tradisi keluarga sambil menimba ilmu kemahiran demi masa depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
