'Kenaikan 150 peratus adalah keterlaluan, mendadak'

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) menyifatkan tindakan kerajaan menetapkan harga siling bagi topeng muka tiga lapis (3-ply face mask) sebanyak RM2 berbanding 80 sen sekeping sebagai keterlaluan.

Dalam satu kenyataan, Majlis Setiausaha PH nyatakan rasa kesal dan membantah pengumuman kenaikan harga sehingga 150 peratus itu yang tidak menyelesaikan masalah.

"Kenaikan harga sebanyak 150 peratus ini adalah keterlaluan dan cukup mendadak.

"Ia juga tidak membantu meredakan keadaan di mana isu sebenar di sini adalah isu bekalan yang tidak mencukupi," menurut kenyataan itu.

Tambah PH, ketika menjadi kerajaan, PH telah mengusahakan satu skim pembelian secara pukal dari semua pengeluar topeng muka dalam negara pada harga 60 sen sekeping.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Harga siling topeng muka kini RM2 sekeping

Katanya, pada waktu itu, industri mampu menghasilkan tujuh juta topeng muka seminggu dan langkah-langkah telah pun disediakan pada waktu itu untuk memastikan stok topeng muka dalam negara mencukupi.

"Malah dalam semua perbincangan di antara Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada waktu itu, wakil industri tidak pernah sekalipun membangkitkan isu harga.

Artikel Berkaitan:

"PH menggesa kerajaan untuk mengkaji semula pengumuman kenaikan harga itu dan jangan membebankan rakyat sebegini rupa," katanya.

Sehubungan itu, PH menggesa kerajaan untuk meneruskan dan memuktamadkan perbincangan dengan pihak industri dengan objektif meminta industri meningkatkan pengeluaran topeng muka.

PH berkata, berdasarkan perbincangan terdahulu, PH yakin empat perkara perlu dilaksana segera bagi membantu industri mencapai objektif tersebut.

Antaranya dengan membantu industri mengatasi masalah pekerja yang tidak mencukupi serta mempercepat proses meluluskan penambahan syif operasi dari dua ke tiga.

Selain itu, kerajaan juga disaran memberi pengecualian atau pelepasan cukai-cukai tertentu seperti yang tertakluk di bawah Akta Kastam 1967.

"Kerajaan perlu memudahkan industri untuk memperoleh bahan mentah bagi meningkatkan pengeluaran topeng muka.

"PH turut berpandangan bahawa pada ketika China merupakan pengeluar topeng muka terbesar dunia, kerajaan perlu mengadakan perbincangan dengan kerajaan China (government-to-government) untuk membolehkan serta mempermudah industri dan syarikat di Malaysia mengimport topeng muka dari negara itu. Ini kerana isu wabak Covid-19 telah semakin reda di China," katanya.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membenarkan semula aktiviti mengimport topeng muka dari negara luar berkuatkuasa semalam.

Aktiviti mengeksport bahan itu juga dihentikan serta-merta bagi mengelakkan bekalan bahan itu berkurangan.

Bagaimanapun kerajaan menetapkan harga siling bagi topeng muka sebanyak RM2 berbanding 80 sen sebelum ini kerana kekurangan bahan memproses serta berlaku kenaikan harga pada bahan asas produk ini.