Pipi bengkak selepas picit jerawat

Pipi Aina Batrisyia membengkak selepas dia memicit jerawat. (Kanan: Nanah telah dikeluarkan dan bahagian luka telah dicuci doktor.)
Pipi Aina Batrisyia membengkak selepas dia memicit jerawat. (Kanan: Nanah telah dikeluarkan dan bahagian luka telah dicuci doktor.)
A
A
A

SHAH ALAM – Seorang gadis dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang tidak menyangka tindakannya memicit jerawat kecil di wajah bertukar pengalaman menyakitkan apabila pipinya membengkak teruk.

Aina Batrisyia Mohamad Aniq, 20, berkata, pada awalnya jerawat berhampiran bahagian bawah bibir itu kelihatan biasa sahaja namun mula menunjukkan perubahan selepas dipicit.

"Selepas picit, pipi mula bengkak. Saya tunggu dahulu kerana ingatkan ia perkara biasa dan bengkak akan surut.

"Bagaimanapun, masuk hari ketiga, bengkak semakin besar hingga saya tidak mampu menahan sakit lalu terpaksa ke klinik," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, doktor memaklumkan jerawat di pipi yang dipicit itu hampir menjadi cyst kerana terdapat nanah di dalamnya.

"Nanah itu ada dua lapisan iaitu bahagian atas lembut manakala bawahnya keras. Mula-mula doktor buang nanah lembut sebelum mengorek keluar bahagian bawah menggunakan jarum," ujarnya.

Aina Batrisyia berkata, kini dia perlu mendapatkan rawatan di klinik setiap hari untuk mencuci luka, selain kapas berisi antibiotik turut dimasukkan ke dalam lubang luka bagi mengelakkan jangkitan.

Katanya, ini kali pertama dia berdepan pengalaman sebegitu, malah ibu serta kenalan juga tidak pernah mendengar kes seumpama itu.

Dia kemudian berkongsi pengalamannya di TikTok sebagai peringatan kepada orang ramai mengenai risiko memicit jerawat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, perkongsian tersebut menarik perhatian warganet dengan pelbagai komen termasuk ada yang pernah mengalami masalah sama.

"Niat saya hanya mahu beri kesedaran supaya orang lain lebih berhati-hati. Jangan picit jerawat atau luka kecil kerana kita tidak nampak kuman.

"Lebih bahaya jika di bahagian muka kerana ada saluran darah," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!