Perkhidmatan perbankan penting tidak terganggu: ABM

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perkhidmatan penting di bank-bank tempatan termasuk akses kepada mesin juruwang automatik (ATM), pemprosesan dan kelulusan pinjaman baharu atau permohonan pembiayaan tidak terganggu semasa Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu di seluruh negara.

Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) berkata, perkhidmatan lain yang tidak terganggu ialah terminal layan diri seperti mesin deposit tunai di semua cawangan dan lokasi yang boleh diakses, serta hotline khidmat pelanggan atau pusat panggilan.

Menurutnya, pelanggan yang ingin mengunjungi bank dinasihatkan supaya menyemak status terkini dan perkembangan terkini mengenai bank mereka melalui laman web bank atau talian hotline perkhidmatan bank tersebut terlebih dahulu.

“Keselamatan menjadi keutamaan pada masa ini. Kami ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa bank-bank anggota kami sedang mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan keselamatan pelanggan dan kakitangan bank mereka sepanjang masa," katanya dalam kenyataan hari ini.

ABM berkata, pelanggan digalakkan untuk menggunakan bentuk perkhidmatan perbankan yang lain, seperti melalui telefon, perkhidmatan mudah alih dan/atau dalam talian untuk kemudahan yang lebih baik, sejajar dengan gesaan kerajaan yang menggalakkan jarak sosial dalam tempoh kawalan pergerakan ini.

“Orang ramai turut dinasihatkan berjaga-jaga pada setiap masa terhadap penipuan berkaitan Covid-19, yang boleh dipromosikan dalam pelbagai bentuk untuk mengambil kesempatan daripada orang ramai dalam tempoh ini," katanya.

Menurut ABM, pelanggan dinasihatkan untuk menghubungi bank mereka untuk pertanyaan, penjelasan dan/atau bantuan, jika perlu.

Sebagai usaha untuk mengawal penularan Covid-19 di negara ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac hingga 31 Mac.- Bernama

Artikel Berkaitan: