Pemandu kren direman dera anak saudara

Suspek disyaki memukul tangan kiri kanak-kanak itu dengan tali pinggang hingga menyebabkan kesan lebam pada tangan mangsa. Foto hiasan
Suspek disyaki memukul tangan kiri kanak-kanak itu dengan tali pinggang hingga menyebabkan kesan lebam pada tangan mangsa. Foto hiasan
A
A
A

KANGAR - Seorang lelaki direman dipercayai mendera anak saudara lelakinya berusia enam tahun di sebuah rumah di Jalan Kilang Ais, Kuala Perlis dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, lelaki berusia 26 tahun yang bekerja sebagai pemandu kren itu ditahan pada jam 12.20 tengah malam tadi dan dia disyaki memukul tangan kiri kanak-kanak itu dengan tali pinggang hingga menyebabkan kesan lebam pada tangan mangsa.

Beliau berkata, polis menerima laporan daripada ibu saudara mangsa sebelah ibunya berusia 37 tahun pada Sabtu, selepas kira-kira jam 5 petang kanak-kanak itu mendakwa dipukul bapa saudara sebelah bapanya ketika berada di rumah datuknya di Jalan Kilang Ais berkenaan.

"Punca kejadian dipercayai kerana mangsa bermain dan menconteng mukanya sendiri menggunakan pen penanda ketika berada di ruang tamu. Suspek dipercayai tidak berpuas hati dan melarang mangsa sebelum kemudian dipercayai bertindak memukul mangsa menggunakan tali pinggang.

"Sebelum ini mangsa pernah mendakwa dipukul suspek yang tinggal bersama datuknya beberapa kali. Ibu saudaranya, bagaimanapun tidak membuat laporan polis ketika itu kerana beranggapan ingin menjaga hubungan baik keluarga," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, kanak-kanak itu bersama dua lagi adik-beradiknya berusia empat dan sembilan tahun dijaga wanita itu dan datuk sebelah bapa yang tinggal berdekatan rumah wanita terbabit secara bergilir-gilir sejak 2022 selepas ibu bapa mereka bercerai.

Yusharifuddin berkata, mangsa bersama adik lelaki dan kakaknya dirujuk ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini manakala suspek direman hingga Rabu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!