Kes pelajar cederakan guru: Polis tunggu laporan psikiatri

Polis Sarawak menunggu laporan penilaian psikiatri forensik pelajar 16 tahun yang dipercayai mencederakan seorang guru di sekolah swasta di Kuching.
Polis Sarawak menunggu laporan penilaian psikiatri forensik pelajar 16 tahun yang dipercayai mencederakan seorang guru di sekolah swasta di Kuching.
A
A
A

KUCHING - Polis masih menunggu laporan penilaian psikiatri bagi menentukan keadaan mental seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai mencederakan seorang guru di sebuah sekolah swasta di sini pada 21 Oktober lepas.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Saifullizan Ishak berkata, laporan tersebut penting bagi membantu menentukan keadaan suspek ketika kejadian.

"Polis sedang menunggu laporan penilaian psikiatri forensik bagi menentukan keadaan mental suspek ketika kejadian. Setakat ini, kita belum dapat membuat sebarang kesimpulan sehingga laporan berkenaan diterima,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini pada Rabu.

Saifullizan berkata, polis telah melengkapkan siasatan dan mengemukakan kertas siasatan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Sarawak pada 26 Oktober lepas untuk penelitian lanjut.

"Polis telah merakam keterangan daripada 38 saksi yang terdiri daripada pelajar, guru, pengawal keselamatan, pakar perubatan dan ibu bapa suspek bagi membantu siasatan.

"Beberapa barangan yang dirampas, termasuk kapak, pisau, mercun serta komputer dan gajet dari rumah suspek, telah dihantar untuk analisis forensik,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan setakat ini, polis tidak menemukan bukti mengaitkan kejadian itu dengan unsur buli.

Pada 21 Oktober, Saifullizan mengesahkan seorang guru wanita cedera dipercayai akibat diserang seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat di sebuah sekolah di sini. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!