AG jamin siasatan kes kematian Wan Ahmad Faris diselesai segera

KOTA BHARU – Jabatan Peguam Negara memberi jaminan bahawa siasatan semula kes kematian pelajar tahfiz, Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman akan diselesaikan secepat mungkin.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkembangan siasatan oleh pihak polis dari semasa ke semasa.
“Kami akan menjalankan siasatan lanjut dan berterusan. Jika ada perkembangan yang baik serta terkini, kami akan mengambil tindakan seterusnya.
“Kes ini akan sedaya upaya dipastikan berjalan lancar dan diselesaikan secepat mungkin agar berakhir dengan keadilan kepada semua pihak, terutama keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Infrastruktur Awam, Program Kampung Angkat Madani, Jabatan Peguam Negara 2025, di Kampung Padang Tembak di sini pada Sabtu.
Mayat Wan Ahmad Faris, 16, pelajar Tingkatan Empat sebuah tahfiz di Kok Lanas, di sini ditemukan tergantung di tandas asrama pada Disember 2013.
Pada 2016, inkues di Mahkamah Koroner Kota Bharu memutuskan kematian anak sulung daripada dua beradik itu bukan disebabkan bunuh diri, tetapi berpunca daripada tindakan individu yang tidak dikenal pasti.
Kes tersebut ditutup pada 2020 dengan status No Further Action (NFA) sebelum keluarga memfailkan saman sivil terhadap kerajaan Persekutuan pada 28 Julai lalu.
Pada 20 Ogos lepas, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan siasatan semula kes itu telah dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

